Alhamdulillah, Ramadhan baru menjengah kita beberapa hari. Mengambil kesempatan dalam Tazkirah Harian Ramadhan pada kali ini saya tajukkan dengan Khatam al-Quran: Inilah Cita-Citaku. Walaupun saya bahasakan dengan Inilah Cita-Citaku tetapi maksud saya kita semua. Sebagai seorang Muslim mesti bertekad untuk mengkhatamkan al-Quran walaupun sekali sepanjang Ramadhan. Ini kerana, Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran.
Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
Surah al-Baqarah (185)
Antara amalan salafussoleh berkenaan dengan al-Quran pada bulan Ramadhan:
- Imam Malik Rahimahullah memberi kecaknaan yang sungguh-sungguh untuk beramal ibadat di bulan Ramadhan, khususnya membaca al-Quran.
- Begitu juga, Imam al-Zuhri tidak meriwayatkan hadith pada bulan Ramadhan tetapi menekuni untuk membaca al-Quran.
- Al-Imam al-Bukhari dikatakan khatam al-Quran pada bulan Ramadhan setiap hari sekali.
- Imam Ahmad khatam al-Quran setiap 3 hari sekali dan jika masuk kepada 10 akhir Ramadhan, beliau akan khatam al-Quran sehari sekali.
- Diriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha’ie, seorang tabi’in iaitu al-Aswad Ibn Yazid mengkhatamkan al-Quran pada setiap dua malam pada bulan Ramadan.
- Begitu juga, Qatadah mengkhatamkan al-Quran dalam masa tujuh hari, apabila tiba bulan Ramadan beliau mengkhatamkan dalam masa tiga hari dan apabila tiba sepuluh terakhir Ramadan, beliau mengkhatamkannya pada setiap malam.
- Mujahid pula mengkhatamkan al-Quran sebanyak sekali pada setiap malam di bulan Ramadan.
- Manakala Imam al-Syafi’i pula mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di dalam bulan Ramadan sepertimana yang diceritakan oleh murid beliau, al-Rabi Ibn Sulaiman sepertimana dinukilkan oleh al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar A’lam al-Nubala’.
Kami kemukakan di sini dari buku kami Tips Hafazan al-Quran, bagaimana salafussoleh khatam al-Quran:
Imam Nawawi menukilkan amalan salaf berkenaan khatam al-Quran:
- Setiap 2 bulan sekali khatam al-Quran.
- Setiap sebulan sekali.
- Sepuluh hari sekali.
- Lapan hari sekali.
- Seminggu sekali (jalah kebanyakkannya). Antaranya ialah seperti Uthman bin Affan, Abdullah Bin Mas’ud, Zaid Bin Thabit, Ubai Bin Kaab dikalangan sahabat sedangkan dikalangan tabiin pula seperti Abdul Rahman bin Yazid, Alqamah dan Ibrahim.
- Enam hari sekali.
- Lima hari sekali.
- Empat hari sekali.
- Tiga hari sekali.
- Dua hari sekali.
- Sehari sekali. Seperti Uthman, Tamim al-Dari, Said bin Jubair, Mujahid dan Imam Syafi’i.
Di samping itu ada yang khatam:
- 2 kali sehari. Ini yang mashyur yang dilakukan Imam Syafie pada bulan Ramadan.
- 3 kali sehari. Antaranya Salaim Bin Umar iaitu kadi Mesir pada zaman pemerintahan Muawiyah. Berkata bahawa Sulaim bin Itr al-Tujaibi khatam al-Quran dalam satu malam sebanyak tiga kali. Lihat Fadhail al-Quran 1/275
- 4 kali sehari. Ianya telah dilakukan oleh Abu Bakar Bin Abi Daud.
- 8 kali sehari. Khatam 8 kali sehari iaitu 4 siang hari dan 4 malam hari. Syeikh Abu Abdul Rahman Al-Sulami Rahimahullah berkata, Aku dengar Abu Uthman al-Maghribi berkata adalah Ibn Kuttab khatam pada siang hari 4 kali dan malam 4 kali.
Persoalannya kita bagaimana cara untuk mengkhatamkan al-Quran walaupun sekali sepanjang Ramadhan. Kami tidak kisah kepada huffazul Quran dan para asatizah yang mampu membaca al-Quran dengan baik, lancar dan fasih. Tetapi isunya, kita sebagai penjawat awam, pekerja swasta atau bekerja sendiri yang sentiasa dikekang dengan masa seolah-olah hampir tiada untuk mewaqafkan sejuzuk daripadanya, khasnya membaca dan bercita-cita untuk khatam al-Quran pada Ramadhan ini.
Justeru, saya cadangkan beberapa cadangan agar kita dapat khatam al-Quran. Antaranya:
- Peruntukkan masa selepas sahur atau Subuh untuk satu juzuk setiap hari. Ini boleh ditambah pada hari-hari cuti.
- Membaca al-Quran secara halaqah yang akhirnya kita semua dapat khatam al-Quran.
- Kalau hari Jumaat, kita pergi awal ke masjid, dan kita baca al-Quran. Begitu juga, pada waktu solat-solat fardhu. Ini memudahkan bagi kita untuk khatam al-Quran. Kalau sehari kita dapat 2 juzuk, maka kita akan dapat khatam al-Quran dalam masa 15 hari.
- Kita juga boleh mengguna bacaan al-Quran dari YouTube yang kita ikuti untuk mengkhatamnya al-Quran.
- Antara cara yang lain, boleh jadi kita pergi dalam halaqah anak-anak yang sedang menghafaz al-Quran untuk mengambil semangat dengan kebersamaan kita bersama mereka yang akhirnya kita dapat khatam al-Quran.
- Cara yang terakhir dengan menjemput huffazul Quran membaca al-Quran yang boleh kita ikuti bersama. Sebagai contoh, 2 juzuk sehari. Makanya, sebelum tamat Ramadhan kita boleh khatam.
Mungkin di sana banyak lagi cara-cara yang lain yang boleh kita praktiskan untuk mengkhatam al-Quran. Semoga cita-cita kita untuk khatam al-Quran akan tercapai. Amin.
Akhukum fillah,
Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
4 Ramadhan al-Mubarak 1444 H