Alhamdulillah, kita sudah melalui hari kedua puasa. Ketahuilah, masa berlalu begitu pantas. Benarlah firman Allah SWT:
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Surah al-’Asr (1-3)
Ibn Kathir menukilkan pandangan Imam al-Syafi’i, katanya:
لَوْ تَدَبَّرَ النَّاس هَذِهِ السُّورَة لَكَفَتْهُمْ
Maksudnya: “Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/319)
Imam al-Syaukani menjelaskan: “Allah SWT bersumpah dengan masa kerana di dalamnya terkandung pelbagai pelajaran, dari sudut berlalunya siang dan malam, dan dengan perhitungan putarannya serta pergantian gelap dan terang. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat petunjuk yang jelas terhadap Pencipta yang Maha Perkasa, Maha Mulia dan untuk bertauhid hanya kepada-Nya. (Lihat Fathul Qadir, 8/56).
Menurut al-Maraghi, Allah SWT bersumpah dengan masa kerana di dalamnya terdapat banyak peristiwa dan pelajaran yang boleh dijadikan petunjuk tentang kekuasaan, ketinggian hikmah dan keluasan ilmu-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7696)
Di sini, Allah SWT bersumpah dengan masa kerana ia adalah nadi utama manusia. Setiap masa yang berlalu, bermakna itulah usia kita yang berlalu. Ia juga memberi maksud, usia kita semakin berkurangan.
Allah SWT bersumpah dengan masa kerana masa menjadi perkara pokok (utama) bagi manusia. Hal ini menunjukkan apabila manusia berpegang dan beriman (menjaga) dengan masa dengan sebenar-benarnya, maka kehidupan seorang manusia akan menjadi sempurna. Oleh itu, masa adalah perkara yang paling utama di antara yang perlu dijaga sebagai seorang Muslim.
Di dalam Tafsir al-Mishbah menyebut bahawa para ulama’ sepakat mengertikan perkataan ‘ashr pada ayat pertama ini dengan waktu. Namun, terdapat perbezaan pendapat diantara para ulama tentang pengertian waktu itu. Oleh itu, penulis tafsir tersebut berkata bahawa pendapat yang paling tepat adalah waktu secara umum.
Seterusnya beliau menukilkan daripada Syeikh Muhammad Abduh bahawa Allah SWT bersumpah dengan waktu kerana telah menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa turunnya al-Quran untuk berkumpul dan berbincang-bincang berkenaan pelbagai perkara dan tidak jarang dalam perbincangan mereka itu terlontar kata-kata mempersalahkan waktu atau masa. “Waktu sial”, demikian ucapan yang sering kali terdengar apabila mereka gagal, atau “waktu baik” jika sekiranya mereka berhasil.
Allah SWT bersumpah demi waktu untuk membantah anggapan mereka bahawa tidak ada sesuatu yang di-namakan waktu sial atau waktu baik melainkan semua waktu adalah sama. Yang berpengaruh adalah kebaikan dan keburukan usaha seseorang dan inilah yang berperanan dalam baik atau buruknya kesudahan sesuatu pekerjaan. (Lihat Tafsir al-Mishbah, 15/585).
Saya pernah terbaca di dalam satu buku yang menyebut perkataan (الْعَصْرِ) itu merujuk kepada kalimah ‘asir (عصير). Ia juga memberi maksud perahan atau minuman yang diperah seperti air tebu, air mangga dan lain-lain. Ini memberi makna sifat perahan adalah menghabisi sehingga tinggal hanya hampas seperti batang tebu yang telah diperah airnya yang dimasukkan dalam mesin perahan beberapa kali.
Oleh itu, dalam bahasa yang simbolik, “hai manusia, gunakan masa yang ada pada kamu dan perahlah ia dengan sehabisnya untuk bekalan kamu di hari akhirat kelak kerana dunia destinasi yang sementara sedangkan akhirat itulah matlamat yang bersifat kekal abadi.” Justeru, janganlah kita alpa dengan masa yang berbaki agar apabila tiba masanya kita tidak termasuk dalam nas yang menyebutkan: “berada dalam kerugian.
Bulan Ramadhan jika manusia mengetahui tentang kelebihannya, nescaya mereka bercita-cita agar sepanjang tahun bulan Ramadhan.
Daripada Abi Mas’ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda:
لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِي شَهْرِ رَمَضَانَ لَتَمَنَّى الْعِبَادُ أَنْ يَكُونَ شَهْرُ رَمَضَانَ سَنَةً
Maksudnya: “Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadhan berlaku sepanjang tahun.”
Riwayat Ibn Khuzaimah (1886), al-Tabarani (967) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3634)
Ini kerana gandaan pahala yang begitu banyak untuk bulan Ramadhan dengan sebab itulah ia digelar sebagai bulan ibadat atau musim al-Khairat yang memberi maksud musim segala amal kebajikan.
Kalau sebulan Ramadhan, 24 jam sehari kita hanya mempunyai 720 jam sahaja untuk sepanjang Ramadhan. Apa yang boleh kita lakukan dengan jumlah itu? Antara yang dicadangkan:
- Khatam al-Quran sebanyak mungkin, sekurang-kurangnya sekali dan boleh lebih daripada itu.
- Solat tarawih, pastikan dilakukan setiap malam. Seboleh-bolehnya di masjid. Ini kerana, ia hanya berlaku pada bulan Ramadhan sahaja.
- Solat tahajjud, solat witir, solat Dhuha, solat rawatib, hendaklah dilakukan dengan sempurna. Sebagai nilai tambah yang terbaik bagi Ramadhan kita.
- Zakat sebolehnya dilakukan pada bulan ramadhan termasuklah zakat fitrah.
- Wakaf, infak dan sedekah juga diperbanyakkan dan dilakukan pada bulan Ramadhan, kami telah nyatakan dalam buku kami, Keajaiban Sedekah.
- Melazimi dan membiasakan kaki untuk ke masjid bagi melakukan solat berjemaah kerana kita ketahui pahalanya cukup besar di sisi Allah SWT.
Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kebaikan untuk memanfaatkan masa yang ada di bulan Ramadhan yang akhirnya membawa kepada ketaqwaan kepada Allah SWT. Selamat beribadah di bulan yang mulia.
Akhukum fillah,
Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
2 Ramadhan al-Mubarak 1444 H