Mukadimah

Pada 25 Mei 2023 telah sampai kepada saya sebuah persoalan yang menarik daripada media. Soalannya seperti berikut:

  • Adakah saluran khas bagi memudahkan ulama / tokoh agama membuat teguran kepada kerajaan? 
  • Sekiranya tiada perlukah ia diwujudkan? 
  • Apakah kekangan dihadapi bagi jalin kerjasama antara ulama / kerajaan ini?

Definisi Ulama

Sering kali kita dengar masyarakat menggelarkan seseorang sebagai ulama atau orang alim, kadang-kadang masyarakat sendiri keliru jika ditanya siapakah mereka yang dianggap ulama. Tanpa definisi yang tepat, kita khuatir ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memperdaya masyarakat. Malahan, masyarakat juga akan mudah memberikan gelaran ulama kepada sesiapa yang dirasakan sesuai pada hemat mereka.

Dalam bahasa Arab, ulama adalah kata jamak bagi ‘alim, yang bermaksud seorang yang berilmu. Lawan bagi ‘alim adalah jahil. Jika seseorang itu benar-benar ‘alim, dia digelar dengan gelaran ‘allam atau ‘allamah. (Lihat Lisan al- ‘Arab, hlm. 371)

Dalam al-Qur’an, kita boleh temui pelbagai bentuk istilah yang menggambarkan keluasan ilmu Allah SWT. Ia datang dalam istilah العالم العليم dan العلام.

Firman Allah SWT:

قُلِ اللَّهُمَّ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِي مَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hambaMu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya”.

Surah al-Zumar: 46

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ الْخَلَّاقُ الْعَلِيمُ

“Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menciptakan sekalian makhluk, lagi Yang Maha Mengetahui (akan hal mereka).”

Surah al-Hijr: 86

يَوْمَ يَجْمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقُولُ مَاذَا أُجِبْتُمْ ۖ قَالُوا لَا عِلْمَ لَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

“(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: “Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?” Rasul-rasul itu menjawab: “Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib”

Surah al-Ma’idah: 109

Adapun perkataan علماء disebut dalam al-Qur’an sebanyak dua kali iaitu dalam Surah Fatir ayat 28 dan Surah al-Syu’ara’ ayat 197.

Dari sudut istilah, kita akan temui pelbagai definisi ulama yang diberikan, dan saling berkait antara satu sama lain. Antaranya adalah:

  • Kata Ibn Qayyim, ulama adalah golongan ahli fiqh Islam di mana fatwa-fatwa seringkali dikeluarkan menerusi kata-kata dan pendapat mereka. Mereka berkeahlian dalam mengeluarkan hukum dan memelihara dengan tegas kaedah-kaedah halal dan haram. Mereka di bumi umpama bintang-bintang di langit. Melalui mereka, manusia yang keliru mendapat petunjuk. Keperluan manusia kepada mereka pula melebihi keperluan kepada makan dan minum. (Lihat I`lam Al-Muwaqqi’in `An Rab Al-`Alamin, 1/18)
  • Kata Ibn al-Jinni sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn al-Manzur, ulama adalah sifat bagi orang berilmu, disebabkan lamanya mereka bergelumang dengan ilmu sehingga ilmu itu seolah-olah menjadi darah dagingnya. (Lihat Lisan al- ‘Arab, hlm. 371)
  • Ibn al-Manzur berkata, ulama adalah mereka yang beramal dengan apa yang diketahuinya. (Lihat Lisan al- ‘Arab, hlm. 370)
  • Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti kata al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (3/327).
  • Ulama ialah yang mengenali syariat Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah.
  • Ulama juga adalah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ 

Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

 Surah al-Sajdah: 24

Betapa mulianya kedudukan para ulama sehinggakan penyaksian ketauhidan juga disebut peranan para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

 Surah Ali Imran: 18

Bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya ialah melalui keluasan ilmunya, ketelitiannya dalam hal syubhah, dakwah dan jihadnya, ibadahnya, kezuhudannya, dan pengakuan daripada para ulama’ lain.

Kepentingan Nasihat

Firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 

Maksudnya: “Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati  kepada kesabaran.”

Surah al-Asr : 1-3

Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah. (Lihat Tafsir al Tabari, 24/590 dan Tafsir al-Qurtubi, 20/123)

Menurut Sayyid Qutb berdasarkan perkataan saling berpesan itu, ia menggambarkan satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Islam mahukan umat ini menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan. Selain itu, Islam mengharapkan umat ini sentiasa saling berpesan sesama mereka untuk menjunjung kebenaran dan kesabaran dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran, 17/521)

Bagaimana Menasihati Pemimpin?

Perkara pertama yang perlu difahami adalah, redha dengan kesalahan dan kezaliman pemimpin adalah satu dosa. Dari Ummu Salamah Hindun binti Abi Umayyah, Rasulullah SAW bersabda:

ستكونُ أمراءُ . فتعرفونَ وتُنْكرونَ . فمن عَرِف بَرِئ . ومن نَكِرَ سَلِمَ . ولكن من رَضِي وتابعَ قالوا : أفلا نقاتلهُم ؟ قال : لا . ما صلوا

“Akan ada para pemimpin kelak. Kamu semua mengenal mereka dan menolak perbuatan mereka. Siapa yang membenci kekeliruannya, maka ia terlepas dari dosa. Siapa yang menolaknya, maka ia selamat. Namun yang redha dan mengikutinya, itulah yang tidak selamat”. Para sahabat bertanya: “Apakah kita perangi sahaja pemimpin seperti itu?”. Nabi menjawab: “Jangan, selama mereka masih solat”

Riwayat Muslim no. 1854

Justeru, menjadi kewajipan untuk para ulama menegur mana-mana pemimpin yang dilihat melakukan kemungkaran atau ketidakadilan dalam pemerintahannya. Kaedah yang paling tepat untuk menegur pemimpin adalah menasihatinya. Jika nasihat dan teguran telah disampaikan, namun tidak ada perubahan maka sudah terlepas tanggungjawab para ulama.

Daripada Abu Ruqayyah bin ‘Aus al-Dari R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدِينُ النَصِيحَةُ، قُلنَا: لِمَنْ؟ لِلَّهِ، وَلِكَتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِم

Maksudnya: Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda: “Bagi Allah, Kitab-Kitabnya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4994), Nasaie (7/ 156), Ahmad (2/297), dan al-Darimi (2/311)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah tolong-menolong bersama mereka dalam urusan kebenaran, mentaati arahan mereka dalam kebenaran, menegur dan mengingatkan mereka dengan cara lemah-lembut, memberitahu mereka tentang apa yang mereka lalai supaya tidak melanggar hak-hak umat Islam, tidak menjadi pembangkang kepada mereka, dan menganjurkan orang lain untuk mentaati mereka.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 2/38)

Al-San’ani berkata: “Maksud “Nasihat kepada pemimpin umat Islam” adalah membantu mereka dalam menegakkan kebenaran, mematuhi mereka dalam apa yang diperintahkan (dalam perkara kebenaran), membantu dan memberikan cadangan yang baik kepada mereka, menasihati mereka supaya bersifat kasih-sayang dan ‘adil. (Lihat Subul al-Salam, 4/210)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: ““Dan nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah dengan membantu mereka dengan kebenaran, taat kepada mereka dalam urusan tersebut (kebenaran), mengingatkan mereka kepada perkara tersebut dan menasihati mereka dengan lemah lembut, tidak menentang mereka, dan mendoakan mereka dengan taufiq (kebaikan), dan mendorong mereka kepada kebaikan lainnya.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa Al-Hikam, hlm. 79)

Bentuk nasihat yang utama bagi pemimpin adalah secara sembunyi-sembunyi dan bukan terang-terangan. Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌أَرَادَ ‌أَنْ ‌يَنْصَحَ ‌لِسُلْطَانٍ ‌بِأَمْرٍ، ‌فَلَا ‌يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً، وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ، فَيَخْلُوَ بِهِ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ، وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

“Barangsiapa ingin menasihati pemimpin dengan sesuatu hal, maka janganlah menampakkan nasihat tersebut secara terang-terangan. Namun ambillah tangannya dan berbicaralah empat mata dengannya. Jika naihat diterima, itulah yang diharapkan. Jika tidak diterima, engkau telah menunaikan apa yang dituntut darimu.”

Riwayat Ahmad, no. 15333

Sufyan al-Thauri pernah berkata:

لَا يَأْمُرُ السُّلْطَانَ بِالْمَعْرُوفِ إِلا رَجُلٌ عَالِمٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، رَفِيقٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، عَدْلٌ.

Maksudnya: “Tidak selayaknya mengajak pemimpin kepada yang ma’ruf melainkan dia seorang yang ‘alim (berilmu) dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, berlemah-lembut dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, serta bersikap adil (dalam menyampaikan).” (Lihat Syarh al-Sunnah oleh Al-Baghawi, 10/54)

Nasihat bagi pemimpin adalah menasihati mereka, iaitu menjelaskan kebenaran kepada mereka, tidak meresahkan dan menakutkan mereka, membantu dan menolong mereka dalam perkara-perkara yang hukumnya wajib untuk dibantu, dan menegur mereka dengan cara lembut dan berhikmah. 

Kepentingan nasihat kepada pemimpin adalah agar lahir pemimpin yang bertakwa. Pemimpin yang bertakwa pasti akan menolong rakyatnya yang berada dalam kesusahan. Bermula suatu kehancuran kepada sesebuah pemerintahan apabila pemimpin mula lalai dengan tanggungjawabnya dan rakyat sudah mula ingin memberontak.

Apa yang dimaksudkan dengan pemimpin umat Islam adalah para pemimpin umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka. Termasuk juga dalam pengertian pemimpin umat Islam ialah para ulama dan golongan yang melakukan perubahan (islah). Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil Amri” (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.”

Surah al-Nisa’: 59

Adapun para ulama dan golongan islah tanggungjawab mereka dalam melaksanakan tanggungjawab al-nasihah untuk kitab Allah dan Rasul-Nya adalah besar. Tanggungjawab ini menuntut supaya mereka menolak kehendak hawa nafsu yang sesat jauh dari al-Qur’an dan al-Sunnah serta menjelaskan dalil daripada kedua-duanya. Begitu juga menolak pengaruh ulama yang jahat (su’). Ciri-ciri ulama su’ ada dihuraikan oleh Imam al-Ghazali dalam Bidayatul Hidayah.

Tanggungjawab ulama yang lebih besar ialah melaksanakan tanggungjawab al-nasihah untuk para pemimpin dan menyeru mereka supaya berhukum dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah akan menghisab mereka sekiranya mereka cuai melaksanakan tanggungjawab ini. Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya paling afdhal jihad ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.”

Riwayat Ahmad (11143) dan al-Hakim (8543)

Abu Laith al-Samarqandi di dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin berkata bahawa seorang yang ingin menjalankan amar makruf dan nahi mungkar atau dalam konteks isu ini – menasihati pemimpin – harus melengkapi lima syarat:

  1. Berilmu kerana orang yang tidak mempunyai ilmu tidak mampu memahami dan membezakan perkara yang makruf dan mungkar, halal dan haram.
  2. Ikhlas semata-mata kerana Allah dalam melaksanakan sebarang perkara dalam menegakkan agama.
  3. Berlemah-lembut dalam memberi amaran dan tidak biadab kerana Allah berfirman kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S ketika berhadapan dengan Firaun:

فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا

Maksudnya:Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut.”

Surah Taha: 44

4-     Kasih sayang kepada yang dinasihati, dengan baik dan ramah mesra dan jangan menggunakan kekerasan kerana Allah menyatakan di dalam kisah Luqman:

وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ

Maksudnya: Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.”

Surah Luqman: 17

5-     Mesti mengerjakan apa yang telah dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sendiri sehingga tidak termasuk seperti yang telah difirmankan oleh Allah:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya:Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Surah al-Baqarah: 44

(Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 99)

Dinyatakan dalam kitab al-Durrat al Gharra’ oleh al-Khairbaiti: “Seseorang sultan, pertamanya mestilah mengetahui kadar kekuasaannya dan memahami bahayanya. Sesungguhnya kekuasaan itu merupakan sebahagian daripada nikmat Allah SWT, sesiapa yang menunaikan haknya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan abadi yang tiada tandinganya tetapi barang siapa yang gagal melaksanakan haknya, dia akan memperoleh kesengsaraan yang tiada toloknya melainkan kekufuran kepada Allah SWT. Sekiranya demikian, maka tiada nikmat yang lebih tinggi daripada pemberian darjat sultan kepada seseorang hamba yang menjadikan satu saat daripada hidupnya seumpama keseluruhan hidup orang lain. Sesiapa yang tidak menyedari kebesaran nikmat tersebut akan menggunakannya dengan penuh kezaliman dan memuaskan hawa nafsunya. Mereka ini dibimbangi akan menjadi sebahagian daripada musuh Allah. (Lihat al-Durrat al Gharra’, 1/144).

Sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Tiada dikalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinanya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga”.

Riwayat al-Bukhari (7150) dan Muslim (142)

Allah SWT befirman kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S apabila berdepan dengan firaun:

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

Surah Taha: 44

Allah SWT befirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah al-Nahl: 125

Kekerasan akan dibalas dengan kekerasan dan ia tidak akan memberi manfaat, malah yang disebaliknya akan berlaku. Ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada umat Islam.

Sabda Nabi SAW:

إِذَا ‌أَرَادَ ‌اللَّهُ ‌بِالْأَمِيرِ ‌خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

Maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” 

(Riwayat Abu Dawud 2932)

Betapa insafnya para pemimpin apabila ditaklifkan dengan amanah kepimpinan maka sentiasa mereka memohon nasihat serta teguran daripada khalayak masyarakat. Ucapan Saidina Abu Bakar jelas menggambarkan hal tersebut.

أَيُّهَا الناَّس، إِنِّي قَدْ وُلِّيْتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُوْنِيْ، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوْنِيْ، اَلصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَاْلكِذْبُ خِياَنَةٌ، وَالضَّعِيْفُ فِيْكُمْ قَوِيٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ لَهُ إِنْ شَاءَ اللهِ، وَالْقَوِيٌّ فِيْكُمْ ضَعِيْفٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللهُ، لاَ يَدْعُ قَوْمٌ الجِهَادَ فِيْ سَبِيْلِ اللّهِ إِلاَّ ضَرَّبَهُمُ اللهُ بِالذُّلِّ، وَلاَ تَشِيْعَ الْفاَحِشَةَ فِيْ قَوْمٍ قَطٌّ إِلاَّ عَمَّهُمُ اللهُ بِالْبَلاَءِ، أَطِيْعُوْنِيْ ماَ أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَلاَ طاَعَةَ لِيْ عَلَيْكُمْ.

“Wahai semua orang (yang hadir)! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka, jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kalian menjadi kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah di sisiku, sehingga aku bertindak ke atasnya dengan cara yang benar (adil) insya-Allah. Janganlah kalian meninggalkan kewajipan jihad (menegakkan Islam), kerana tiada sesuatu kaum yang meninggalkan kewajipan itu nescaya Allah timpakan kehinaan ke atas mereka. Taatilah aku, selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Maka, apabila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka kalian jangan mentaatiku.” (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh oleh Ibn al-Athir, 2/192)

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA juga pernah berkata:

أَيُّهَا النَّاس مَنْ رَأَى مِنْكُمْ فِيَّ اعْوِجَاجًا فَلْيُقَوِّمْهُ.

Maksudnya: “Wahai kalian semua, jika sekiranya kalian melihatku terpesong, maka perbetulkanlah diriku.” (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh Abd al-Wahab Khalaf, hlm. 33)

Belajar Daripada Yang Terdahulu

Semoga Allah SWT meredhai Abdullah bin Mas’ud RA yang mengungkapkan ucapan yang penuh berharga, “Orang yang berbahagia (beruntung) adalah orang yang mengambil nasihat (pelajaran) dari (peristiwa yang dialami) orang lain.” (Riwayat Muslim, no. 2645). Menjadi keperluan untuk para ulama meneliti sejarah terdahulu, bagaimana para ulama menasihat pemimpin kerana sebaik-baik pengajaran adalah daripada sejarah.

Nasihat Ibn al-Wasiti kepada Sultan Nuruddin

Imam Ibn Kathir meriwayatkan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud bin Imaduddin Zanki bin Aq-Sunqur., salah seorang sultan yang sentiasa melakukan Qiamullail pada malam hari dan berpuasa pada siang hari.

Pernah beliau meminta bala tenteranya pergi ke Damsyiq dan beliau telah mengadakan pesta besar-besaran yang dihadiri oleh para gabenor, para menteri, dan para panglima, serta khalayak ramai dan penduduk Damsyiq. Selepas pesta ini selesai, salah seorang Ibn al-Wasiti, seorang ulama besar pada ketika itu masuk dengan pakaian sederhananya, dan berdiri di hadapan sultan, lalu beliau berkata: “Wahai sultan yang agung, dengarkanlah dengan baik terhadap janji Allah, Maha Raja Langit dan bumi.” 

Tiba-tiba orang ramai terdiam dan berhenti berpesta, mereka menunggu apa yang akan di ucapkan syeikh besar ini. Tuan syeikh itu berbicara kepada sultan ketika ia berada di atas singgah sana kerajaannya:

Wahai manusia yang tertipu, anggaplah dirimu,

     Kini berada pada hari kiamat dan langit bergoncang,

Jika dikatakan: ‘Nuruddin datang berserah diri.’

     Hati-hatilah engkau datang tanpa memiliki nur (cahaya)”

Akhirnya, Sultan Nuruddin pun menangis. 

Nasihat al-Hasan al-Basri kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Selepas Khalifah Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah, beliau mengutuskan surat kepada al-Hasan al-Basri untuk bertanya tentang sifat khalifah yang adil dan tanggungjawabnya. Lantas al-Hasan al-Basri menulis satu risalah kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyebut:

Hai Amirul Mukminin! Tuhan memberi amanah kepada khalifah bagi meluruskan segala yang bengkok, membaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, membela mereka yang teraniaya, dan menjadi penolong mereka yang terlantar.

Hai Amirul Mukminin! Khalifah yang adil ibarat gembala yang sayang kepada haiwan-haiwan ternakannya, menghantarnya ke tempat yang selamat serta jauh dari bahaya, mengawalnya dari gangguan binatang buas serta melindunginya dari kepanasan dan kedinginan.

Hai Amirul Mukminin! Khalifah yang adil laksana seorang ayah yang arif lagi bijaksana terhadap anak-anaknya. Apa yang dilakukan demi kebaikan mereka, mengajarnya menjadi orang yang berguna, bekerja keras membanting tulang untuk ahli keluarganya serta meninggalkan warisan yang berharga buat mereka apabila meninggal dunia kelak.

Hai Amirul Mukminin! Khalifah yang adil ibarat seorang ibu yang berkasih sayang serta bersikap lemah lembut kepada anak-anaknya. Dia rela mengandungkannya dengan bersusah payah, kemudian mengasuhnya ketika bayi. Dia sanggup berjaga malam selagi anaknya tidak tidur dan perasaannya akan lega dan tenang selepas anaknya tenang dan tidur lena. Kemudian, dia menyusukan anaknya ketika haus dan gembira apabila anaknya sihat dan sedih apabila anaknya sakit.

Hai Amirul Mukminin! Khalifah yang adil ibarat pembela anak yatim dan pemberi makan kepada golongan miskin dan mentarbiahkan mereka dan membiayai dan menjaga pada masa tua mereka.

Hai Amirul Mukminin! Khalifah yang adil ibarat hati dalam anggota badan, jika baik nescaya baiklah anggota badan dan jika rosak, maka rosaklah anggota badan.

Hai Amirul Mukminin! Khalifah yang adil ialah khalifah yang yang berdiri antara Tuhan dan hamba-Nya. Dia memperdengarkan firman Allah SWT kemudian menyampaikan kepada rakyatnya. Dia patuh kepada perintah Tuhan kemudian mengajak rakyatnya supaya turut mematuhi-Nya.

Justeru, janganlah kamu menjadi apa yang Allah SWT milikkan kamu sama seperti hamba yang diberi amanat oleh tuannya untuk memelihara harta dan keluarganya, sebaliknya hamba tersebut memusnahkan harta, menjadikan keluarga porak peranda, mengfakirkan ahlinya dan membahagikan hartanya

Hai Amirul Mukminin! Sesungguhnya Allah SWT menurunkan hukuman hudud untuk mencegah perbuatan yang keji lagi buruk. Maka bagaimana mungkin dilakukan oleh yang memerintahnya? Dan bahawa Allah SWT mewajibkan qisas untuk kesinambungan kehidupan hambanya. Maka bagaimana mungkin jika dia (pemimpin) membunuh mereka, maka siapakah yang mengqisaskan mereka? 

Ingatlah hai Amirul Mukminin! Kematian dan selepasnya, ketahuilah sedikit pengikutmu dan penolongmu. Justeru berbekallah untuk hari tersebut dan selepasnya daripada ketakutan yang besar. Ingatlah hai Amirul Mukminin! Kamu mempunyai  rumah yang bukan seperti istana kamu sekarang, lamanya kamu berada di situ, sedangkan ramai yang cintakan kamu akan berpisah denganmu, mereka menghantarmu ke liang kubur dalam keadaan keseorangan dan terasing. Justeru, berbekallah dengan amalan yang akan bersama dengan kamu pada hari seseorang melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya, isteri dan anak-anaknya.

Ingatlah hai  Amirul Mukminin! Apabila kamu dibangkitkan daripada kubur dan didedahkan segala perkara yang ada di dalam hati, ketika itu segala rahsia menjadi zahir dan kitab tidak mengecualikan perlakuan hamba kecil atau besar kecuali dicatat dan dihitungkannya. Sekarang hai Amirul Mukminin anda diberi tempoh sebelum sampai ajal dan terputusnya cita-cita.

Hai Amirul Mukminin! Jangan kamu menghukum hamba Allah SWT dengan hukuman orang jahil. Janganlah bawa mereka itu di jalan yang dilalui orang zalim. Jangan kamu beri kesempatan pada orang sombong yang berkuasa ke atas orang yang lemah.

Hai Amirul Mukminin! Janganlah kamu memandang pada kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kedudukan kamu pada hari esok di mana kamu terbelenggu dalam cengkaman maut, kemudian berdiri di hadapan Tuhan di tengah kelompok para malaikat, para Nabi dan Rasul.

Akhir kalam hai Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz, meskipun nasihat yang saya berikan ini tidak sebaik nasihat para cendekiawan, namun saya dengan setulus hati sayang dan cinta kepadamu. Saya mengirim surat ini laksana orang yang memberikan ubat kepada kekasihnya, yang menuangkan ubat yang pahit dengan harapan orang yang dikasihinya sihat.

Selamat atasmu hai Amirul Mukminin, semoga Tuhan memberikan rahmat dan berkat-Nya kepadamu.

Berdasarkan surat di atas jelas menunjukkan beberapa perkara penting antaranya:

  • Pemimpin hendaklah mendampingi ulama dalam memohon buah fikiran dan nasihat yang baik, agar benar-benar berada atas landasan syariah.
  • Ulama hendaklah jujur tanpa mengampu dalam memberi nasihat seperti ibarat yang digunakan oleh al-Hasan al-Basri dengan  kalimah “ketahuilah”. Ini menunjukkan dia tidak bersifat berpura-pura dan munafik.
  • Bandingan dan perumpamaan yang diberikan oleh al-Hasan al-Basri lebih mendekatkan kefahaman dan begitu terasa pada lubuk hati yang jujur, seperti:
  • Khalifah/pemimpin yang adil ibarat gembala yang sayang kepada haiwan-haiwan ternakannya.
  • Khalifah/pemimpin yang adil laksana seorang ayah yang arif bijaksana pada anak-anaknya.
  • Khalifah/pemimpin yang adil ibarat seorang ibu yang berkasih sayang serta bersikap lemah lembut kepada anak-anaknya.
  • Khalifah/pemimpin yang adil ibarat pembela anak yatim dan pemberi makan kepada golongan miskin dan mentarbiahkan mereka serta menjamin kehidupan pada masa tua mereka.
  • Khalifah/pemimpin yang adil ialah khalifah yang yang berdiri di antara Tuhan dan hamba-Nya.

Nasihat Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka’ab dan Raja’ bin Haiwah

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah memanggil tiga orang ulama yang soleh iaitu Salim bin Abdullah, Muhammad bin Kaab dan Raja’ bin Haiwah Rahimahumullah. Nasihat dipinta selepas perlantikannya sebagai Khalifah yang beliau anggap sebagai bala dan ujian sedangkan orang lain menganggapnya sebagai nikmat serta laba.

Lantas Salim bin Abdullah pun menasihatinya dengan kata-kata yang amat mendalam maknanya: “Sekiranya kamu inginkan keselamatan dari azab Allah SWT nanti, maka hendaklah kamu berpuasa dari dunia ini dan berbuka puasalah dengan kematian.”

Nasihat tersebut diikuti dengan nasihat Muhammad bin Kaab: “Jika kamu menginginkan keselamatan dari azab Allah SWT hendaklah kamu jadikan mereka yang tua daripada kamu sebagai bapa kamu, yang dewasa sebagai saudara kamu dan yang kecil sebagai anak kamu. Oleh yang demikian, hormatilah bapamu, muliakanlah saudara kamu dan sayangilah anakmu.

Akhirnya Raja’ bin Haiwah melengkapkan nasihat itu: Sekiranya kamu mengimpikan kejayaan melepasi azab neraka nanti, maka cintailah seluruh orang Islam sebagaimana kamu mencintai dirimu dan bencilah untuk mereka sebagaimana kamu membenci pada diri kamu. Kemudian bolehlah kamu mati jika kamu mahu.

Penawar keresahan jiwa ini dihidangkan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz tadi telah dibukukan dalam kitab al-Futuhat al-Makkiyyah.

Justeru, dengan menekuni nasihat ketiga-tiga tokoh yang besar ini akan terpeliharalah dari kegelinciran dan menatijahkan sebuah negara yang aman damai, harmoni dan bahagia.

Nasihat Imam al-Auza’i kepada Pemimpin

Imam al-Auza’i merupakan salah seorang ulama’ besar Islam yang sangat dihormati ketika zaman pemerintahan Khalifah Abu Ja’far al-Mansur. Bahkan beliau pernah ditawarkan jawatan sebagai seorang Qadhi ketika itu.

Suatu ketika, Khalifah al-Mansur memintanya untuk datang menghadap kepadanya. Apabila Imam al-Auza’i datang dan mengakui kekhalifahan serta berbai’ah kepadanya, lantas Khalifah berkata: “Wahai al-Auza’i, apa yang membuatkanmu lambat datang ke sini?”

Imam al-Auza’i menjawab, “Apa yang engkau inginkan wahai Amirul Mukminin?”

Sepertimana yang dijelaskan dalam ‘Uyun al-Hikayat min Qasas al-Salihin wa Nawadir al-Zahidin oleh Ibn al-Jauzi, lalu Khalifah al-Mansur berkata, “Aku ingin mengambil nasihat dan pendapatmu.”

Mendengar ucapan Khalifah tersebut, Imam al-Auza’i lalu berkata, “Lihatlah hai Amirul Mukminin. Kamu tidak akan mengetahui apa yang akan aku katakan kepadamu.”

Khalifah al-Mansur kemudian berkata “Bagaimana mungkin aku tidak mengetahuinya, sedangkan aku yang bertanya kepadamu. Dan aku juga yang ingin mengambil pendapatmu serta memintamu untuk mengeluarkan pendapat.”

Imam al-Auza’i kemudian berkata, “Engkau akan mendengarnya, tetapi engkau tidak akan melaksanakannya.”

Mendengar jawapan tersebut, seorang yang bernama al-Rabi’ lalu berteriak dan menggerakkan tangannya ke arah pedangnya. Namun Khalifah al-Mansur menegahnya dan berkata kepadanya, “Ini adalah majlis untuk mencari pahala, bukan majlis untuk menghukum orang.”

Imam al-Auza’i kemudian berkata, “Wahai Amirul Mukminin. Makhul pernah meriwayatkan sebuah hadis Nabi SAW kepadaku, daripada Atiyyah bin Busr R.A bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

أَيُّمَا عَبْدٍ جَاءَتْهُ مَوْعِظَةٌ مِنَ اللهِ فِي دِينِهِ فَإِنَّهَا نِعْمَةٌ مِنَ اللهِ سِيقَتْ إِلَيْهِ فَإِنْ قَبِلَهَا بِشُكْرٍ وَإِلَّا كَانَتْ حُجَّةً عَلَيْهِ مِنَ اللهِ لِيَزْدَادَ بِهَا إِثْمًا وَيَزْدَادَ اللهُ بِهَا عَلَيْهِ سَخْطَةً

Maksudnya: “Sesiapa sahaja hamba yang datang kepadanya nasihat daripada Allah dalam perkara agamanya, maka itu adalah nikmat daripada Allah yang dialirkan kepadanya. Jika dia menerimanya dengan rasa syukur (itu baik). Namun, jika tidak, maka itu menjadi hujjah daripada Allah SWT ke atas dirinya, yang dengan itu Allah SWT menambah dosa baginya dan menambah kebencian kepadanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’aib al-Iman (7401) dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (6/136). Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami (2245) dan al-Silsilah al-Dha’ifah (5642)

Imam al-Auza’i kemudian meneruskan, dengan menukilkan hadis lain daripada Makhul, daripada ‘Atiyyah bin Busr R.A, bahawa sabda Rasulullah SAW:

أَيُّمَا وَالٍ بَاتَ غَاشًّا لِرَعِيَّتِهِ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa sahaja pemimpin yang menipu rakyat yang di bawah pimpinannya, nescaya Allah haramkan syurga baginya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/30), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (6/136), al-Tabarani seperti dalam Majma’ al-Zawa’id oleh al-Haithami (5/215), al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (806) dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (37/447). al-Syaukani menyatakan isnadnya hasan dalam al-Fath al-Rabbani (11/5428). Begitu juga al-San’ani dalam Subul al-Salam (4/287) menilai isnadnya hasan. Pengarang Sahih al-Targhib (2207) menilainya sebagai sahih.

Setelah itu, Imam al-Auza’i berkata: “Hai Amirul Mukminin, yang melembutkan hati umat Islam terhadapmu. Ketika Dia memberikan amanah kepimpinan atas mereka kepadamu adalah kerana kekerabatanmu dengan Nabi mereka. Dan Baginda Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang sangat penyayang, dan kasih terhadap umatnya. Dan Baginda SAW sentiasa menyediakan dirinya untuk membantu umatnya ketika itu. Baginda SAW tidak pernah menutup pintu daripada permintaan memohon pertolongan daripada umatnya. Baginda juga tidak pernah membataskan umatnya untuk bertemu dengannya. Baginda juga senang melihat nikmat yang ada pada mereka. Bahkan Baginda merasa sedih dengan kesulitan yang menimpa umatnya. Maka sangat tepatlah Baginda memperlakukan umatnya dengan kebenaran.”

“Hai Amirul Mukminin, engkau sibuk mengurus keluargamu dan orang-orang berdekatan denganmu, dari mengurus hal-hal rakyat. Sedangkan engkau  telah memegang tampuk pimpinan atas seluruh urusan mereka. Sama ada mereka yang berkulit putih, atau hitam, sama ada orang Islam mahupun yang kafir. Dan mereka semua mempunyai hak atas dirimu untuk diperlakukan dengan adil. Maka bayangkanlah, jika nanti di hari kebangkitan, mereka semua akan mengadukan bencana yang telah engkau kenakan terhadap mereka, atau kezaliman yang telah engkau timpakan kepada mereka.”

Imam al-Auza’i lalu bercerita, bahawa suatu ketika di tangan Rasulullah SAW terdapat pelepah kurma yang beliau gunakan untuk mengusir dan menakutkan orang-orang munafik. Namun Malaikat Jibril datang kepadanya dan berkata, “Wahai Muhammad, mengapa engkau memegang pelepah kurma seperti itu, yang boleh membuatkan hati umatmu menjadi terluka dan takut?”

“Jika perbuatan Nabi Muhammad SAW yang demikian saja sudah ditegur oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril, lalu bagaimana dengan tindakan pemimpin  yang melukai tubuh-tubuh rakyat. Sehingga kulit menjadi pecah, dan menumpahkan darah mereka, merosakkan rumah mereka, membuat mereka terusir dari tempat tinggal mereka, dan menanamkan ketakutan di hati mereka?” kata Imam al-Auza’i kepada Khalifah al-Mansur.

Dalam menasihati pemimpinnya, Imam al-Auza’I kembali mencontohkan keperibadian Rasulullah SAW ketika menjadi pemimpin. Ceritanya, Rasulullah SAW pernah meminta seorang Arab Badwi untuk melakukan hukuman qisas terhadap diri beliau sendiri.

Hal tersebut beliau lakukan, kerana terjadinya kecederaan di tubuh seorang Arab Badwi yang disebabkan tindakan beliau yang tidak sengaja. Dan ketika Rasul SAW tidak sengaja mencederakan tubuh Arab Badwi tersebut, datanglah Malaikat Jibril, “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT tidak mengutusmu untuk menjadi seorang yang menindas dan sombong,”

Mendengar perkataan Malaikat Jibril tersebut, Rasulullah SAW lalu memanggil orang Badwi tersebut dan berkata, “Lakukanlah qisas kepadaku.”

Namun orang Arab Badwi menjawab, “Saya telah membebaskanmu dari hal itu, wahai Rasulullah SAW. Saya tidak mungkin melakukan qisas itu kepadamu, wahai Rasulullah SAW. Sekalipun engkau memintaku untuk melakukannya.”

Mendengar jawapan orang Badwi tersebut, Rasulullah SAW kemudian mendoakannya dengan doa kebaikan.

Begitulah, seorang pemimpin memang sewajarnya lebih mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyatnya, daripada keluarganya dan kelompoknya sendiri. Seorang pemimpin seharusnya juga tidak menolak kritikan, dan selalu meminta nasihat-nasihat daripada para ulama dan tokoh agama. Dan tugas seorang pemimpin adalah mewujudkan keadilan untuk rakyatnya, sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Semoga nasihat seperti ini juga membawa kebaikan kepada kita semua. Amin.

Nasihat Syaiban al-Ra’i kepada Khalifah Harun al-Rasyid

Syaiban al-Ra’i ketika menasihati Khalifah Harun al-Rasyid berkenaan melantik dan mengambil penasihat yang benar, berkata:

“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik daripada engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”

Harun al-Rasyid bertanya: “Jelaskan maksudnya untukku.”

Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah!” adalah lebih baik daripada orang yang berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”

(Lihat al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih, 1/198 dan Hilyatul al-Awliya, 8/354)

Kami katakan, nasihat yang tulus dari hati yang bertakwa dan takutkan Allah amat memberi kesan kepada para pemimpin. Sebaliknya, jika seseorang itu tidak bertakwa, menasihatkan orang lain supaya bertakwa dan takutkan Allah, maka ia seperti pujangga Arab menyebut:

 وَغَيْر تَقيٍّ يَأْمُرُ النَّاسَ بالتُقَى           طَبيْبٌ يُدَاوي النَّاسَ وَهُوَ عَليلُ

Dan orang yang tidak bertakwa menyuruh manusia agar bertakwa

            Samalah seperti tabib yang ingin rawat manusia sedangkan dia sendiri sakit

(Lihat Safwah al-Tafasir, 1/49; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/313)

Nasihat Syeikh Sya’rawi kepada Presiden Hosni Mubarak

Salah seorang ulama’ rabbani dan tersohor di dunia pada kurun ini ialah Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi. Beliau lahir pada 5 April 1911 M di perkampungan Daqadus, Daqhaliah, Mesir. Jasanya amat besar dalam dunia Islam terutama pengajaran tafsirnya tersebar luas di Timur Tengah dan dunia Islam dengan gaya yang tersendiri dan ilham rabbani. 

Beliau juga telah menjawat pelbagai jawatan sama ada berkaitan dengan al-Azhar atau Menteri Waqaf Mesir pada zaman Anuar Saddat. Beliau dikenali sebagai Imam al-Du’ah sehingga dijadikan siri drama kisah riwayat hidupnya dan perjuangannya. Ramai tokoh ulama’ besar terutamanya di Mesir bila saya bertanya berkenaan Syeikh Sya’rawi, boleh dikatakan mereka semua hampir sependapat bersetuju dengan kemuliaan, keilmuwan dan hikmah Syeikh Sya’rawi di samping dapat menarik sejumlah umat Islam dan rakyat Mesir.

Pernah satu ketika, semasa percubaan membunuh Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Addis Ababa, Ethiopia. Antara yang memberi ucapan seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Baba Shanudah, Syeikh al-Azhar Jada al-Haq Ali Jada Haq. Tetapi ucapan yang disampaikan oleh Syeikh Sya’rawi penuh dengan adab, nasihat yang bernas serta maui’zah hasanah yang luar biasa.

Syeikh al-Sya’rawi memberikan nasihatnya yang terakhir kepada mantan presiden Hosni Mubarak. Nasihatnya itu disampaikan dalam pertemuan terakhir antara Syeikh al-Sya’rawi dengan Hosni Mubarak, yang terjadi pada tahun 1995 dan disiarkan langsung oleh TV rasmi Mesir. Siaran itu disiarkan pada malam Selasa (15/3/2011). Selain al-Sya’rawi, hadir dalam pertemuan itu Syeikh Muhammad Al-Ghazali, Dr. Zakaria Azmi dan juga uskup Kristen Ortodok.

Saat pertemuan antara Asy-Sya’rawi dengan Hosni Mubarak, kelihatan di dalam video al-Sya’rawi sedang memberikan nasihat kepada Hosni Mubarak sambil bersandar di tongkatnya kerana sedang sakit. (Video boleh diakses melalui pautan: https://www.youtube.com/watch?v=72V7P5uDUmw

Berikut ialah antara wasiat Syeikh al-Sya‘rawi:

“Sesungguhnya aku, Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala daripada Allah. Aku tidak mahu menghabiskan sisa-sisa hidupku dengan sifat-sifat munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Akan tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat kesemuanya, sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang, penentang atau penyokong, dan rakyat. Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka.

Aku ingin semuanya tahu bahawa sesungguhnya kekuasaan itu adalah di tangan Allah. Dia memberi kekuasaan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan).

Hal ini kerana sesungguhnya Allah SWT telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apakah yang Allah SWT firmankan kepadanya (Nabi Muhammad)?

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ

Maksudnya:Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan?

Surah al-Baqarah: 258

Oleh itu, kekuasaan itu Allah beri kepada sesiapa yang Dia mahu. Maka janganlah kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah dan janganlah juga kamu melakukan tipu helah terhadap Allah bagi mendapatkan kekuasaan itu kerana seseorang itu sama sekali tidak akan mendapat kekuasaan dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak-Nya.

Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya, dan sekiranya dia seorang yang jahat lagi zalim, maka dia menjadi hodoh disebabkan oleh kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dalam hati-hati manusia. Oleh sebab itu, mereka membenci setiap orang yang zalim sekalipun tidak terlintas untuk membenci pemimpin itu.

Oleh kerana demikian, aku berkata kepada kamu sekalian, sesungguhnya kita, alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak menafsirkan firman Allah:

وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ

Maksudnya: Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka).”

Surah al-Anfal: 30

Begitu juga bagaimana kita hendak menafsirkan firman Allah:

إِنَّهُمْ يَكِيدُونَ كَيْدًا ﴿١٥﴾ وَأَكِيدُ كَيْدًا

Maksudnya:Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat, dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya).”

Surah al-Tariq: 15-16

Maka aku nasihatkan supaya sesiapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemimpin, maka janganlah meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemimpin ketika mana dia dilantik. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طُلِبَ إِلَى شَيْءٍ أُعِينَ عَلَيْهِ، وَمَنْ طَلَبَ شَيْئًا وُكِّلَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah, dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan dibebankan kepadanya.”

Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir aku dengan engkau! (Kemudian Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi memegang bahu presiden Mesir dan meneruskan kata-katanya):

Jika nasib kami bergantung kepada kamu, semoga Allah memberi taufiq kepadamu (dalam menunjukkan jalan yang benar), dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, semoga Allah menolong kamu untuk menanggung beban.”

Apa Seterusnya Untuk Malaysia?

Dalam artikel ini, kita telah menganalisis pentingnya peranan ulama dalam memberikan nasihat kepada pemimpin. Ulama, dengan keahlian mereka dalam agama, memiliki tanggungjawab untuk memastikan pemimpin negara mematuhi prinsip-prinsip yang baik, adil, dan bermoral. Kepemimpinan yang baik memerlukan pemahaman yang mendalam tentang nilai-nilai keagamaan dan komitmen untuk melayani masyarakat dengan tulus.

Melalui sejarah, kita telah melihat bagaimana ulama telah berperan dalam membentuk dan mempengaruhi arah politik dan sosial sebuah negara. Malaysia, sebagai negara dengan keanekaragaman budaya dan agama, dapat mengambil manfaat dengan ramai ulama yang berpengetahuan luas dan berpengalaman.

Saya teringat satu kisah bagaimana Presiden Tunisia, Habib Bourguiba (الحبيب بورقيبة) telah membuat satu peraturan untuk diikuti oleh khalayak rakyat iaitu tidak perlu berpuasa pada bulan Ramadhan kerana kesibukan bekerja dan pendapatan negara akan berkurangan. Beliau sendiri melalui kaca TV telah minum di khalayak ramai pada siang hari. Akhirnya, pihak pemimpin negara memohon fatwa dan pandangan kepada seorang ulama rabbani Syeikh Tahir Ashur. Lantas, keesokan hari Syeikh Tahir Ashur berada di khalayak ramai dan menyampaikan ucapannya. Beliau memulakannya dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Surah al-Baqarah: 183

Seterusnya, beliau berkata, “Sadaqallah wa kazaba Borqiba.” Maksudnya: “Benarlah Allah dan dustalah Borqiba,” sebanyak 3 kali. Akhirnya, peraturan dan undang-undang tersebut telah ditarik balik. Akhirnya, rakyat Tunisia terus dapat melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan dengan baiknya.

Atas pengalaman sebagai mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya senang bersikap jujur dalam perkara ini supaya ia boleh menjadi muhasabah bersama dan penambahbaikan di masa depan.

  1. Saluran khas bagi memudahkan ulama untuk membuat teguran dan nasihat kepada Kerajaan Persekutuan adalah amat baik, bahkan ia telah wujud cuma perlu diperkasakan peranannya. Kita telah ada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan para mufti negeri bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam tadbir urus terkait Hal Ehwal Agama. Cuma, sebarang pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI tidak mempunyai kuasa perundangan kerana badan ini tidak boleh mengeluarkan fatwa atas faktor ia merupakan bidang kuasa negeri. Lebih menyukarkan, jika pandangan hukum tersebut ingin diwartakan, ia perlu dibawa semula untuk penelitian Jawatankuasa Fatwa di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Mufti negeri. Natijahnya, satu-satu isu penting negaranya adakalanya memakan masa berbulan-bulan lamanya untuk diputuskan disebabkan faktor birokrasi. Realitinya, sebarang kesepakatan di peringkat Jawatankuasa Muzakarah MKI tidak menjamin kesepakatan yang sama di peringkat negeri.
  2. Sudah sampai masanya diwujudkan jawatan Mufti Negara yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Perundangan Islam di Malaysia tidak berpusat kerana urusan agama merupakan bidang kuasa negeri. Peruntukan perundangan tersebut wajar dihormati dan dikekalkan kerana ia adalah antara hak mutlak Raja-Raja Melayu. Bidang kuasa seorang Mufti Negara tidaklah boleh melebih Mufti negeri, tetapi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa dan fatwanya boleh dipertimbangkan untuk dipakai di peringkat negeri. Jawatan tersebut juga amat penting sebagai wakil dan jurucakap negara di peringkat global untuk sebarang urusan diplomatik melibatkan agama. Usul ini pernah dibincangkan semasa YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 
  3. Badan ulama bebas seumpama Darul Ifta’ yang bernaung di bawah Majlis Raja-Raja juga perlu diwujudkan. Ia boleh diketuai oleh Mufti Negara dan berperanan untuk menasihati Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai persoalan termasuk politik, ekonomi, sosial dan dasar-dasar kerajaan yang ingin digubal atau dilaksanakan di peringkat Persekutuan. Ia boleh dianggotai oleh para mufti, ahli akademik, penyelidik, tuan guru pondok, teknokrat dan pakar selain Jawatankuasa Muzakarah MKI. Bagi mengelakkan pertindihan, penyelarasan bidang tugas boleh dilakukan antara badan ulama bebas ini dan Jawatankuasa Muzakarah MKI. Saya pernah mengusulkannya pada tahun 2019 semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. Ia berjalan lancar dengan pengambilan lebih 50 perjawatan pegawai penyelidik di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2020. Namun perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan apabila saya menjawat jawatan Menteri dan perlu memberikan fokus kepada pandemik COVID-19.
  4. Adapun isu kekangan untuk menjalin kerjasama antara ulama dan Kerajaan Persekutuan, saya tidak melihat sebarang solusi lain kecuali saluran komunikasi yang lebih telus perlu disediakan oleh pihak Kerajaan. Ia bukan sekadar majlis yang lazim diadakan setahun sekali, atau sempena tujuan tertentu sahaja.

Para ulama perlu sentiasa menyatakan dan menyuarakan pandangan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي؛ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى الْحَقِّ، ظَاهِرِيْنَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.

Maksudnya: “Akan sentiasa ada sekelompok daripada umatku yang akan berjuang membela kebenaran. Mereka ini akan sentiasa ada sehingga hari Kiamat.”

Riwayat Muslim (1923)

Manakala dalam satu riwayat lain, disebut:

ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ، لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِك.

Maksudnya: “…(mereka akan) sentiasa menzahirkan kebenaran. Orang yang menghina mereka tidak akan pernah dapat membahayakan mereka. (Hal ini berlaku) sehinggalah datang perintah Allah, sementara mereka masih tetap dalam keadaan demikian.”

Riwayat Muslim (1920)

Keberhasilan masa depan Malaysia sangat bergantung pada kolaborasi yang baik antara ulama dan pemimpin. Dengan kerja sama yang kuat antara keduanya, Malaysia dapat mencapai kemajuan yang lebih holistik dalam mencapai keadilan, kestabilan, dan kesejahteraan bagi seluruh masyarakatnya. Jika pernah terdetik dalam jiwa para pemimpin untuk memandang enteng akan peranan ulama, hanya menggunakan para ulama untuk kepentingan tertentu sebagaimana yang berlaku di sebahagian negara-negara luar, maka tidak akan ada lagi yang tinggal untuk masa depan negara tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *