Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, saban tahun negara kita Malaysia sejak sekian lama telah mengadakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Tahun ini merupakan tahun ke-2 ia diadakan pasca pandemik dengan jayanya. PBAKL yang berlangsung pada 26 Mei – 4 Jun 2023 ini dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri.

Saya tertarik untuk berkongsi pengalaman sebagai pengunjung dan juga pempamer dan warna-warni yang menghidupkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ini. Selain itu, saya juga akan membentangkan beberapa syor dan cadangan untuk penganjuran akan datang yang lebih baik.

Objektif PBAKL

Sebagaimana yang kita sedia maklum, objektif PBAKL adalah seperti berikut:

  • Untuk memajukan industri penerbitan buku tempatan; 
  • Menggalakkan aktiviti berkaitan perbukuan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan dan pemasaran buku di negara ini. 
  • Mempromosikan judul terkini bahan terbitan tempatan, sama ada bercetak mahupun bahan elektronik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa lain dari dalam dan luar negara; 
  • Memupuk kesedaran mengenai kepentingan buku sebagai pembekal ilmu dan penggayaan minda untuk pembinaan modal insan
  • Menggalakkan tabiat budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia 
  • Menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbitan dan pemasaran buku serta perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan di rantau ini.

PBAKL 2023

Melalui Pustaka Cahaya Kasturi (PCK), saya telah menyertai PBAKL melebihi 5 tahun. Tidaklah terlalu lama pengalaman yang ditimba, sebagaimana syarikat-syarikat gergasi seperti Karangkraf, PTS, Telaga Biru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudah menyertainya puluhan tahun. Sudah tentu asam garam “hari raya orang buku” ini sudah lali bagi mereka.

26 Mei, Jumaat

Saya tidak dapat hadir pada hari pembukaan PBAKL dek kerana jadual yang padat. Berpagi-pagian menyampaikan kuliah di Melaka, kemudiannya memenuhi jemputan khutbah Jumaat di Seremban. Seperti kebanyakan pempamer lain, jualan di PCK pada hari pertama agak perlahan.

27 Mei, Sabtu

Pada hari kedua, saya ke PBAKL pada jam 2.30 petang. Hasrat di hati untuk sampai lebih awal di sana, namun ada beberapa tuntutan program yang perlu dipenuhi. Antaranya Kuliah Dhuha Mingguan di  Masjid Jamek Sultan Hisammudin, kenduri aqiqah cucu Puan Mesbah, dan mesyuarat bersama Pengarah Yayasan Terengganu, Datuk Azmi di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur.

Antara tetamu kehormat yang sempat hadir ke reruai saya pada hari ini adalah Tuan Guru Tan Sri Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang. Alhamdulillah, tetamu datang bertali arus  untuk sesi temu dan tegur, bergambar, mendapatkan tandatangan pada buku-buku saya ataupun sekadar bertanyakan masalah keagamaan.

Seorang pemuda yang kudung tangan dan kaki kanannya bertanyakan kepada saya hukum menggunakan tangan kiri ketika mengangkat jari telunjuk pada tahiyat akhir. Antaranya, seorang yang cacat tangan dan kaki kanannya akibat kemalangan. Bagaimana cara untuk meletakkan tahiyat akhir; adakah boleh digunakan tangan kirinya? Tidak kurang juga yang memohon doa untuk mendapatkan zuriat, jodoh dan kejayaan anak-anak masing-masing. 

28 Mei, Ahad

Selepas Kuliah Dhuha mingguan di USIM, saya singgah ke Nilai Spring Resort Hotel pada jam 10 pagi untuk menyampaikan kuliah kepada bakal jemaah haji daripada Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd.

Suasana PBAKL pada hari ketiga mula meriah. Pada hari ini, saya menerima kunjungan bekas staf-staf saya di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertanyakan khabar. Saya juga mengambil kesempatan untuk menziarahi reruai Pustaka Permata Ummah dan dihadiahkan kepada saya sebuah buku karya Tuan Guru Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang.

29 Mei, Isnin

Jam 4.30 petang, saya sudah berada di PWTC. Di samping itu, bertemu dengan rama pengunjung, antaranya murid saya yang sudah menjadi guru bersama suaminya dan empat anaknya, ketika di UNITI dahulu. Sekarang bertugas di Kota Tinggi, Johor. Begitu juga, anak autisme yang cukup istimewa, pelajar pelajar dari Ahmadi Gemencheh, siswa dari UM, siswi dari IPG Bangi. Begitu juga para asatizah yang sempat mengunjungi kami. 

30 Mei, Selasa

Saya tiba di PBAKL pada jam 4.30 petang.

Saya disapa seorang penulis muda, Aiman Banna yang telah menghadiahkan saya buku terbaharu beliau bertajuk Depresi: Healing Sebelum Hilang. Moga saya dapat menekuninya untuk memahami isu depresi yang juga pernah dialami oleh penulisnya.

Sedang berbual dengan Ustaz Fahmi yang kini bertugas di MAIWP, saya menerima kunjungan dua anak muda daripada Singapura lulusan Universiti Islam Madinah yang singgah dan bertanyakan tips untuk menulis buku serta pengurusan masa berkualiti. 

Tidak kurang juga yang datang ke reruai PCK memohon doa untuk zuriat dan keturunan, mendapat keluarga bahagia di samping bertemu jodoh. Saya hargai sangka baik mereka dan sentiasa mendoakan semoga Allah SWT memakbulkan doa mereka. Seorang pendaki gunung, Encik Haizan menghulurkan kepada saya bukunya bertajuk Catatan Pendakian.

Tak lama selepas itu, hadir seorang wanita muda berstatus balu yang mempunyai 3 anak. Beliau menulis buku berjudul Pesan Untuk Siti Saliha dan Catatan Hari-Hari Seorang Balu Yang Berstatus Asnaf. Tambahan pula, yang membesarkan anak yang berstatus OKU. Terasa hiba mendengar kisahnya walaupun masa untuk kami berbual cuma seketika. 

Sedang saya berjalan-jalan, saya disapa pula oleh sekumpulan anak muda. Mereka memohon saya mendoakan mereka untuk menjadi insan yang lebih baik. Menurut apa yang dikhabarkan kepada saya, mereka adalah pesalah juvana yang sedang menjalani khidmat masyarakat di PBAKL. Lantas saya mengangkat tangan, memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan mereka anak-anak yang soleh. Sebelum berpisah, saya berpesan kepada mereka untuk tidak meninggalkan solat..

31 Mei, Rabu

Hari ini dimulakan dengan beberapa mesyuarat peribadi dan Mesyuarat Lembaga Pengarah USIM. Saya singgah sebentar ke pejabat peribadi saya – Kompleks Al-Abqari – untuk menyelesaikan beberapa soal jawab di media sosial yang ditanyakan netizen. Masa untuk saya berada di PBAKL hanya 1 jam kerana selepas itu, saya perlu bergegas ke KLIA untuk penerbangan ke Terengganu. Memang tak menang tangan menyambut kunjungan orang ramai yang tidak putus-putus ke reruai PCK. Antara yang saya ingat, bekas staf saya di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang kini berada di Bahagian Falak JAKIM, Ustaz Khairul Anuar.

Setibanya di lounge KLIA 2, saya disapa Dr. Ramzah Dambul atau lebih mesra dengan panggilan Rem Dambul. Beliau menghadiahkan kepada saya buku terbaharu beliau berjudul Kentang Alien. Menurutnya, ia sebuah buku dengan genre healing. Ini mungkin kali pertama saya mendengar genre ini. Perlu lebih kajian dan pembacaan tentangnya.

Hari yang berbaki pada 31 Mei dan 1 Jun sehingga sebelum Zohor, saya berada di Terengganu bagi memenuhi jemputan kerajaan negeri Terengganu dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) untuk Terengganu International Summit 2023.

1 Jun, Khamis

Jam 3.15 petang, pesawat Airasia berlepas menuju ke KLIA 2. Setibanya saya pada jam 4.30 petang, saya terus menuju ke PBAKL. Istimewanya hari ini saya bertemu dengan Tuan Abang Ahmad Kerdee yang kini berkhidmat sebagai Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). Beliau sahabat lama saya, aktif dalam perjuangan politik melalui parti AMANAH, dan pernah berkhidmat seketika sebagai Pengerusi Yayasan Taqwa – MAIWP ketika saya diamanahkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).  

Kemudian, saya disapa Imam Muda Arab serta keluarga, dan En. Saidi, kenalan di Telaga Biru. Antara yang membekas di hati saya juga, sepasang suami isteri yang membawa anak istimewa mereka, Amirul Amin untuk didoakan saya. 

2 Jun, Jumaat

Hari ini saya berada di PWTC agak lewat. Tidak banyak yang boleh dikongsikan pada jam 5.30 petang, kecuali pengunjung yang sedikit kurang berbanding waktu puncak. Pun begitu, reruai PCK masih meriah dengan orang ramai yang membeli buku-buku saya.

3 Jun, Sabtu

Hari ini saya pergi lebih awal ke PWTC, memandangkan saya telah bermalam di Sri Pacific Hotel. Alhamdulillah, gembira dapat bersua muka dengan ramai kenalan antaranya Datuk Kamal dari Negeri Sembilan, Dr. Akram daripada ‘Iraq, dan sahabat lama saya al-Fadhil Ustaz Dato’ Dr Abdul Basit yang datang mampir ke reruai PCK.

Hari ini hari yang lebih padat. Padat dengan acara, padat dengan manusia yang penuh bersesak di PWTC pada hari kedua terakhir PBAKL. Saya dijemput untuk melancarkan beberapa buah buku terbitan Pusat Kebudayaan USIM dalam Majlis Pelancaran Produk Seni Berbudaya: Album ‘Usim Taranum 5 Juara’ dan Buku ‘Kit Mahir Khat Dan Jawi”.

Turut dihadiri oleh Prof. Dr. Adnan Yusof (TNC HEPA), Datuk Akbar (Felo C Suite JPA di USIM), En. Ismail (Pengarah Pusat Kebudayaan USIM), dan beberapa orang kenamaan lain. Ucapan perasmian saya disediakan dalam bentuk pantun. Pertama kali saya berpantun dalam ucapan.

Alhamdulillah, 

Syukur kita kepada Allah

Tuhan yang esa wajib disembah

semoga hari ini diberinya barokah

sempena acara penuh bersejarah

 

Album USIM Taranum 5 Juara

satu album yang sangat dibangga

lahir dari Qari yang sangat berjaya

USIM adalah perut  dia bermula

 

Pastinya menjadi satu dokumentasi

untuk rujukkan masyarakat dan generasi

mendidik masyarakat dengan istiqamah tinggi

dan menjadikan Al Quran rujukan yang suci.

 

Kit Mahir Khat dan tulisan Jawi

sebuah buku tersedia inovasi 

kerja kreatif mahasiswa dan alumni

juga staf kebudayaan turut berkreativiti

 

Buku dihasilkan dua siri

pertama berkait permainan tradisi

congkak gasing dan berberapa lagi

pastinya sesuatu yang amat murni

 

Saya yakin dan sangat percaya

Pusat Kebudayaan USIM sentiasa juara

mengangkat seni Islam khasnya

penuh bergaya ke mercu dunia

 

Akhir kalam saya ucapkan

Syabas tahniah kepada yang usahakan

semoga produk ini menjadi ikutan

kepada mereka yang berkemampuan usahakan

Sedang berbual dengan Ustaz Azra’ie dari Majlis Agama Islam Pahang di sebuah restoran berhampiran pentas selepas perasmian, saya disapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Naim, Dato’ Hasanudin yang kini merupakan Yang Dipertua YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin selaku CEO YADIM, Haji Zabidi daripada Yayasan Taqwa-MAIWP, dan beberapa pegawai YaPEIM. Sempat kami berbual seketika dan bertanya khabar sekadar seadanya memandangkan masing-masing terikat dengan jadual.

En. Md Yani telah siap berada di sisi untuk mengiringi saya ke reruai Karangkraf bagi pelancaran buku Garis Masa Hayat al-Rasul SAW edisi kemaskini. Lebih tebal dengan harga yang masih berpatutan.

Di Karangkraf, saya bertemu dengan sahabat lama saya, En. Ahmad Isa yang bersama isterinya yang telah pergi menunaikan haji dengan menggunakan basikal. Beliau menghadiahkan saya bukunya yang bertajuk Ustazah Basikal: Kembara Mustahil ke Makkah. Khabarnya, buku ini telah terjual melebihi 35,000 naskhah. Isterinya pada tahun ini sekai lagi telah diberi rezeki untuk menunaikan ibadat haji. Semoga mendapat haji yang mabrur. Sebagai balasan, saya menghadiahkan buku Garis Masa Hayat al-Rasul kepadanya melalui Karangkraf.

Di reruai PCK, saya bertemu dengan ramai rakan-rakan lama. Antaranya Sahibul Fadhilah Ustaz Ismail, pensyarah KUIS yang saya kenali sejak belajar di Universiti Islam Madinah. Hari ini ramai pelajar yang bertemu saya, bergambar, dan meminta saya mendoakan mereka. Saya berada di reruai sehingga jam 7.15 malam dan terpaksa meninggalkan PWTC untuk menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Ibn ‘Abbas, Kuala Lumpur.

Selepas selesai Kuliah Maghrib, sekali lagi saya bergegas ke PWTC untuk beramah mesra dengan pengunjung reruai PCK. Sebelum merebahkan badan, saya meluangkan masa bertemu Dr. Shahbodin daripada Pulau Pinang dan Dr. Kamil Ibrahim yang menghadiahkan kepada saya bukunya, Ujian Kita: Usah Berdukacita. 

4 Jun, Ahad

Hari terakhir adalah hari penentu bagi para pempamer PBAKL. Saya meluangkan masa sehari suntuk di sini. Antara yang bertemu dengan saya, Datuk Asri daripada Asri Ahmad Academy yang terkenal dengan kursus pelaburan saham. Saya juga disapa dua orang doktor yang ingin membuka klinik wakaf dan mendapatkan pandangan saya tentang usaha tersebut.

Sebelum PBAKL melabuhkan tirainya, saya berkunjung ke 3 buah reruai berhampiran dan menghadiahkan mereka buku Nota untuk Anakku. Saya juga memohon maaf kepada mereka yang mungkin sedikit terganggu dengan “kemeriahan” staf-staf saya mempromosikan buku sepanjang PBAKL.

Pada jam 10.10 malam, saya mencapai mikrofon dan memanjatkan doa kesyukuran untuk PBAKL yang telah berakhir. Selepas memantau kerja-kerja pembersihan dan penutupan reruai, saya bergegas pulang.  Perut yang berkeroncong minta diisi sejak tengahari, memaksa saya dan staf-staf berhenti di RnR Sungai Besi dan menjamah Nasi Lemak yang cukup enak di sini.

Syor Serta Cadangan

Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) atas penganjuran PBAKL kali ke-40. Dalam masa yang sama, ada beberapa syor yang ingin saya kemukakan untuk pertimbangan pihak penganjur.

  • Fasiliti asas termasuk tempat parkir, surau, tandas, ruang rehat, tempat makan dan lain-lain kemudahan mungkin boleh dipertimbangkan untuk dinaiktaraf, sesuai dengan kedudukan pesta buku bertaraf antarabangsa ini. Tidak sedikit kes parkir kenderaan di sekitar PWTC yang berakhir dengan saman, disebabkan kekurangan parkir.
  • Saya berpandangan, ada baiknya pihak penganjur memastikan pempamer diberi penerangan sebaiknya terkait undang-undang terutamanya melibatkan pencerobohan data privasi seperti nombor telefon. Ini rentetan daripada aduan beberapa pengunjung yang diminta untuk menyerahkan nombor telefon bimbit jika ingin mendapatkan resit.
  • Promosi berkenaan PBAKL di media massa dilihat agak lesu dan kewujudan beberapa reruai luar negara serta Negara Tamu nampaknya hanya sekadar mencukupkan “syarat” keantarabangsaannya. Sebagaimana Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt yang turut melibatkan Kementerian Luar Negeri Jerman sebagai penganjur utama, saya fikir sudah sampai masanya kerajaan meneliti kembali konsep penganjuran PBAKL agar pesta buku yang berprestij ini lebih dikenali dunia. Mungkin penglibatan aktif kedutaan-kedutaaan boleh dimanfaatkan sebaiknya. Dengan ini, genre buku dapat dipelbagaikan lagi dan buku hanya tertumpu kepada beberapa genre sahaja.
  • Bentuk-bentuk pertandingan boleh dipelbagaikan, meliputi semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa. Ini bagi menarik minat masyarakat bukan Melayu untuk turut memeriahkan PBAKL yang sentiasa dilihat “didominasi” oleh orang Melayu.
  • Penganjur boleh mengambil inisiatif untuk menjemput tokoh-tokoh ternama dunia untuk membincangkan tentang buku, mahupun budaya membaca. Usaha Biblio Press, Media Inspirasi Nusantara dan Bookonomics yang mengambil langkah proaktif menjemput Tere Liye dalam bengkel The Art of Storytelling wajar diberi pujian.
  • Kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan semula untuk mewujudkan semula baucar buku. Kuasa beli rakyat Malaysia pada PBAKL kali ini masih ada, namun keadaan ekonomi yang menghimpit sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan, baik kepada pempamer mahupun pengunjung.
  • Penganjur perlu memikirkan langkah yang serius untuk mempromosi barisan reruai kecil terutamanya yang berada di Laman Mandiri dan sudut yang tersorok. Hal ini sepatutnya boleh dijangka lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah kepada pempamer.
  • Platform dialog antara pempamer dan penganjur perlu diadakan semasa PBAKL dan bukan hanya sebelum atau selepasnya. Hal ini kerana, sudah pasti wujud masalah luar jangkaan yang perlu diselesaikan segera oleh penganjur.
  • Penganjuran Anugerah Buku Negara buat tahun kedua adalah usaha yang amat baik bagi menghargai bakat-bakat penulisan dalam negara kita. Meneliti 14 kategori yang dipertandingkan, mungkin boleh diwujudkan juga kategori buku luar negara dan juga anugerah khas Penulis Negara.

Penutup

Sesungguhnya, menanamkan minat membaca dalam kalangan rakyat merupakan muqaddimah kepada pembangunan sesebuah tamadun dan kecemerlangan sesebuah negara. Dua hari sebelum PBAKL, saya telah dijemput ke Pesta Buku Antarabangsa Abu Dhabi (ADIBF) untuk menyampaikan syarahan di reruai Muslim Council of Elders. Sejujurnya saya katakan, apabila saya melangkah masuk ke ADIBF yang diadakan di Abu Dhabi National Exhibition Centre, suasananya jauh berbeza dengan mana-mana pesta buku yang pernah saya pergi di luar negara.

Kawasannya amat luas, dan fasilitinya amat selesa disamping kedudukannya yang strategik. Gaya reruai dan susun atur reruai kelihatan moden dan berprestij. Penggunaan robot dan kecerdasan buatan (AI) juga kelihatan di mana-mana. Hampir kesemua reruai mempunyai ruang wacananya yang tersendiri dan membolehkan pengunjung memilih mana-mana wacana yang digemari. 

Saya juga melihat reruai utama kerajaan seperti kementerian-kementerian, polis dan pihak berkuasa lain mempunyai ruang khas dan aktiviti untuk kanak-kanak. Ini satu perkara yang unik.

40 tahun adalah usia yang cukup matang bagi PBAKL untuk memperbaiki kekurangan dan mengangkat semula industri perbukuan negara. Apa-apa yang baik daripada pihak Kerajaan untuk masa depan ilmu dan buku, saya berikan sokongan sepenuhnya.

‘الـحَمْدُ للـهِ الَّذِي بِنِعْمَتهِ تَتِمُّ الصَّالِـحَاتُ’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *