Alhamdulillah, dengan izin-Nya, pada malam Awal Muharram 1445 H, saya cuba coretkan sejuzuk muhasabah diri, seterusnya tekad azam pada tahun baru ini bagi menggapainya cita-cita yang ingin diperolehi, insya-Allah.

Masa setahun berlalu terlalu pantas tanpa disedari. Itulah masa. Makanya: “Demi Masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian adalah  amat tepat.” Inilah yang dinyatakan pada surah al-‘Asr.

Saat yang sama, merenungi 1444 H yang lalu boleh jadi banyak dosa yang kami telah lakukan. Ini semua memerlukan istighfar dan taubat di samping cuba seupaya mungkin agar tidak terjatuh dua kali pada tempat yang sama iaitu dosa-dosa sama ada secara sengaja atau tidak. Inilah yang sepatutnya menjadi tekad kita semua. 

Sesungguhnya, banyak hajat dan cita-cita telah tercapai dan masih banyak dalam perancangan yang perlu ditambah baik. Saya lafazkan  “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ”.

Keduanya, tekad dan azam tahun baru adalah:

  • Perlu mengislahkan diri ke arah lebih baik di samping mempelajari ilmu serta mengambil makrifah dan khibrah (pengalaman) mereka yang telah berjaya.
  • Mengoptimumkan penggunaan masa ke arah yang lebih bermanfaat, berfaedah dan berpahala.
  • Ilmu, makrifah, thaqafah dan hikmah perlu digali dengan ‘menuntut ilmu’, belajar, membaca, mentelaah kitab-kitab turath dan mua’sirah dengan lebih tekun dan giat lagi.
  • Sudut ibadah fardiah sama ada yang wajib mahupun yang sunat perlu diperbanyakkan lagi, serta memberi tambah nilai lagi.
  • Mewakafkan sejuzuk masa untuk dakwah, pengajaran, ta’lim dan tabligh al-ilmu dengan bersungguh-sungguh.

Daripada Abdullah bin Amr R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

  • Menggunakan atau mengurus sebaik mungkin bagi menghasilkan natijah ilmiah dan fawa’id ilmi dengan karya-karya dalam pelbagai disiplin ilmu untuk diterokainya.
  • Menggunakan ‘حَرَكَةُ العَقْل والتَّفْكِير’ dengan lebih baik lagi berkesan. Antaranya menjadikan aqal yang besar dan pemikiran yang hidup lagi menghidupkan. Inilah yang dinyatakan oleh Malik bin Nabi, salah seorang pemikir Islam yang tersohor.

Tindakan Segera / Fardi

Kami mulakan hijrah tahun 1445 ini dengan menekankan aspek peribadi kita untuk kita langkah dan berjalan denagn pantas dalam mengejar kejayaan dan mengisinya untuk tahun ini. Antara yang mungkin dapat dilaksanakan:

  • Menjadikan kaki-kaki kita sentiasa melangkah ke masjid atau surau, sekurang-kurangnya sekali sehari. Ini menandakan syahadah daripada orang ramai bahawa mereka seperti ini mempunyai iman. 
  • Menginfaqkan duit, harta benda atau buah fikiran bersifat harian untuk tabung-tabung masjid, badan-badan amal dan mereka yang memerlukan sebagai ‘sedekah jariah’.
  • Menyentuh dan membaca al-Quran dengan tadabbur setiap hari. Inilah amalan para salafussoleh.
  • Menjadikan Hadyun Nabawi dekat di hati dan jiwa kita yang bersifat harian.
  • Membina ‘alaqah ukhawiyyah’ dengan rakan-rakan secara lebih baik berasaskan prinsip:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Surah al-‘Asr (1-3)

  • Lisan yang sentiasa dibasahi dengan zikrullah, istighfar, selawat atas Junjungan Nabi SAW.

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

  • Menambah ikatan usariah dalam kalangan keluarga dengan Baiti Jannati selaras dengan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya:  “Dan bergaullah dengan mereka secara patut.”

       (Surah al-Nisa’: 19)

  • Tarbiah anak-anak dengan agama dan akhlak yang luhur. Daripada ‘Amru bin Sa’id al-As, sabda Baginda SAW:

 مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tiada pemberian seorang bapa terhadap anak-anaknya yang lebih baik daripada (didikan) yang baik dan adab yang mulia.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

  • Mengislahkan diri dengan bertaubat, beristighfar dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah, di samping menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah. Hati yang bersih dan suci menjadi mukadimah kepada semua kebaikan.

Daripada Nu’man bin Basyir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

 

 Tanggungjawab kepada Agama

Seterusnya kami nyatakan di sini sebagai umat Islam yang cintakan kepada agama hendaklah sentiasa memartabatkan syariah dan syiar Islam sama ada berbentuk fardi atau jam’i.

Kita cuba untuk menjadikan agama sebagai the way of life dalam kehidupan kita. Di samping itu, kita mendidik masyarakat agar berpegang kepada agama serta mengamalkannya. 

 

Tanggungjawab kepada Negara/Negeri dan tanah watan.

Sebagai warganegara dan juga penduduk setempat seperti kita merupakan duta atau safir kepada kampung kita, taman kita, daerah kita, negeri kita, dan negara kita. Hal ini apabila dapat dijelmakan, maka ia merupakan fitrah manusia yang dianggap sebagai cintakan tanah watan sebahagian daripada tanda iman. Bak kata pepatah Melayu, “Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain.”

 

Tanggungjawab kepada ummah.

Kita sentiasa mahukan kedamaian bukan semata-mata di tanah watan kita tetapi seluruh umat Islam juga dapat merasainya dan dunia amnya. Inilah yang ktia dambakan. Apabila disebut tentang ummah maka terus terbenak dalam fikiran kita berkenaan dengan Palestin, yang sedang bertarung dengan siri-siri cengkaman Zionis dan kuku-kuku besi mereka yang mencakar serta merobek umat Islam Palestin. 

Justeru, perlunya memberi sumbangan kepada mereka sekurang-kurangnya doa yang kita munajatkan di tengah malam untuk saudara-saudara kita bagi mendapatkan sebuah keadilan serta kebebasan dalam membentuk sebuah negara yang merdeka dengan acuannya yang tersendiri. 

Semoga sinar Ma’al Hijrah 1445H ini menjadikan kita lebih baik dan cemerlang. 

Jadikan Hijratur Rasul sebagai qudwah dan uswah dalam kita melayari bahtera kehidupan. Sesungguhnya 1001 macam iktibar dan ibrah dapat kita pungut dan kutip untuk menjalani rencam kehidupan ini.

Hijrah pasti membawa kecemerlangan, kejayaan, kedamaian, kebahagiaan dan lebih penting mencapai mardhatillah apabila kita hijrah semata-mata dinawaitukan kerana-Nya. Inilah hijrah hakiki yang meninggalkan segala larangan Allah SWT untuk meraih mardhatillah.

Akhir kalam, doa kami agar kita semua dapat mengislahkan diri serta dapat merealisasikan hidup ini ke arah yang lebih baik. 

Munajat kami:

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Surah al-Naml (19)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *