Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.
Kami mendapat banyak cadangan daripada umat Islam agar bacaan al-Quran diperdengarkan sebelum azan selama 10-15 minit di corong-corong masjid dan surau terutamanya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan susulan wabak Covid-19 yang sedang melanda.
Kami katakan isu ini lebih kepada amalan sebahagian para ulama. Terdapat beberapa riwayat sejarah dan fatwa ulama yang memperakui amalan ini. Kami juga berpandangan bahawa al-Quran itu sendiri merupakan syifa’ atau penawar kepada segala penyakit. Selain ia juga sejuzuk daripada ikhtiar kita dalam meraih tama’ninah dan ketenangan dalam menghadapi ujian yang getir ini. Kupasan lanjut mengenai isu ini akan dibahaskan melalui Unit Penyelidikan Ilmiah, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Perdana Menteri.
Oleh yang demikian, terpulang kepada masjid-masjid dan surau-surau untuk memasang bacaan al-Quran dalam tempoh 10-15 minit sebelum azan dilaungkan pada setiap waktu solat. Moga-moga ia mampu menarik keberkatan, kerahmatan dan belas kasihan-Nya, di samping mempersiapkan umat Islam untuk beriltizam menunaikan tanggungjawab kepada-Nya setiap kali hampirnya masuk waktu solat.