Mukadimah
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.
Dalam suasana seluruh dunia dilanda dengan wabak Covid-19, ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu, sudah menjadi fitrah jika timbul sekelumit kebimbangan dalam diri yang bersifat manusiawi. Kebimbangan yang tidak terkawal pula kadang-kadang menyebabkan jiwa menjadi kacau. Apatah lagi jika ia kosong daripada pengisian rohani yang berupa keimanan dan ajaran agama. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’arij ayat 20:
إِنَّ الْإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا ﴿١٩﴾ إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا
Maksudnya, “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (19) Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.”
Justeru, timbul beberapa cadangan dan syor daripada pelbagai pihak sekiranya dapat mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif lagi menenangkan bagi mengisi kekosongan jiwa yang semakin terhimpit dengan keadaan semasa. Antaranya adalah dengan memperdengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran di corong-corong masjid dan surau setiap kali hampirnya masuk solat. Sekurang-kurangnya, walaupun masjid dan surau ditutup, tetapi peranannya dalam menghidupkan suasana beragama lebih-lebih lagi dalam situasi getir seperti ini dapat dirasai oleh umat Islam.
Al-Quran sebagai penenang jiwa dan penawar penyakit
Secara prinsipnya, tidak diragukan lagi bahawa al-Quran adalah penawar dan penyembuh selain sebagai doa dan zikir yang paling mustajab. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 82:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya :” Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
Kata Imam al-Baidawi berkenaan ayat ini, “Iaitu yang boleh menguatkan agama mereka dan juga memberi kebaikan seperti ubat penyembuh bagi orang yang sakit.” Rujuk Tafsir al-Baidawi ( 3/445)
Begitu juga firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya :” Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Selain daripada sebagai penawar segala penyakit zahir dan batin serta pembawa hidayah petunjuk buat sekalian manusia, al-Quran juga menjadi salah satu daripada ubat yang paling mujarab bagi menenangkan jiwa. Firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 28:
أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya :” Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;
Menurut Ibn Abd al-Barr, para ulama berpendapat bahawa menjadi Sunnah Nabi SAW apabila umat Islam ditimpa dengan sesuatu yang tidak baik termasuk bala bencana untuk mereka kembali memohon pertolongan kepada Allah SWT. Ia dilakukan dengan membaca al-Quran, zikir dan doa.(Lihat Fath al-Malik bi Tartib al-Tamhid, 10/154)
Ini sebagaimana kata-kata Jundub al-Bajali:
اتَّقُوا اللهَ، وَاقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ نُورُ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، وَهُدَى النَّهَارِ، عَلَى مَا كَانَ مِنْ جَهْدٍ وَفَاقَةٍ، فَإِذَا عَرَضَ الْبَلَاءُ فَاجْعَلُوا أَمْوَالَكُمْ دُونَ أَنْفُسِكُمْ، فَإِذَا نَزَلَ الْبَلَاءُ فَاجْعَلُوا أَنْفُسَكُمْ دُونَ دِينِكُمْ
Maksudnya, “Bertaqwalah kamu kepada Allah dan bacalah al-Quran! Sesungguhnya ia adalah cahaya malam yang gelap, petunjuk di siang hari, dalam keadaan kesusahan mahupun kefakiran, jika datang bencana maka letakkan harta kamu di belakang diri kamu, bila turunnya bala maka letakkan agama kamu di belakang diri kamu…” Riwayat al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman (4965)
Berdasarkan keterangan di atas, jelas menunjukkan kedudukan al-Quran bukan sahaja sebagai hidayah petunjuk buat umat manusia, tetapi juga sebagai penawar kepada segala penyakit zahir dan batin serta penenang jiwa.
Membaca dan mendengar bacaan al-Quran
Pada prinsipnya, setiap muslim dituntut untuk membaca al-Quran secara bersendirian. Di sana terdapat banyak fadilat bagi orang yang membaca al-Quran. Dalam sebuah hadis daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
Maksudnya: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran”.
Riwayat Muslim (798) & Ibn Majah (3779)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran. (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/85)
Namun demikian, adakalanya kita tidak membaca al-Quran sebaliknya meminta orang lain yang baik bacaannya untuk mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Rasulullah SAW sendiri gemar meminta para Sahabat RA supaya memperdengarkan al-Quran al-Karim kepada Baginda SAW. Dalam satu hadith yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW meminta Abdullah Ibn Mas’ud RA membacakan al-Quran:
“ “اقْرَأْ عَلَىَّ ”. قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ ” نَعَمْ ”. فَقَرَأْتُ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى أَتَيْتُ إِلَى هَذِهِ الآيَةِ {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا} قَالَ ” حَسْبُكَ الآنَ ”. فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ.
Maksudnya: (Rasulullah SAW bersabda): “Bacakanlah kepadaku al-Quran”. Aku (Abdullah Ibn Mas’ud RA) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, aku membacakan al-Quran kepada kamu padahal al-Quran diturunkan kepada kamu?” Jawab Nabi SAW, “Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya dari bacaan orang lain.” Kemudian aku membaca Surah al-Nisa sehingga ayat 41 dan Baginda SAW bersabda: “Cukuplah untuk sekarang.” Lalu aku berpaling kepada Baginda SAW dan aku mendapati kedua-dua mata Baginda SAW bercucuran air mata.”
Riwayat al-Bukhari (4583)
Menurut para ulama, telah menjadi amalan Rasulullah SAW untuk memerintahkan orang yang membaca al-Quran di masjid mendengar bacaan baginda. Saidina Umar sendiri mengarahkan seseorang membacakan al-Quran sedangkan beliau dan para sahabat menjadi pendengarnya. Ini kerana ia lebih memberikan kesan pada penghayatan dan manfaatnya melangkaui diri sendiri sebaliknya dapat menghidupkan jiwa-jiwa yang lalai. (Lihat Hasyiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah Syarh Nur al-Idhah, 318)
Justeru, ini yang menjadi maksud di sebaliknya cadangan agar bacaan al-Quran diperdengarkan di corong-corong masjid dan surau dengan tujuan agar ia dapat menggerakkan jiwa-jiwa yang lalai terutama di kala masjid dan surau ditutup.
Bacaan al-Quran sebelum azan di masjid dan surau
Secara asasnya perbuatan membaca al-Quran atau zikir di masjid dan surau sebelum azan tidak dilakukan pada zaman Rasulullah SAW. Menurut al-Maqrizi, dalam sejarah Islam, permulaan tradisi membaca zikir di menara-menara masjid bermula pada zaman sahabat Nabi SAW bernama Maslamah bin Mukhallad al-Ansari (w.62H), menjadi gabenor Mesir kepada Khalifah Muawiyah. Beliau telah membina menara Masjid Amru bin al-‘As. Ketika beriktikaf di menara tersebut, beliau telah mendengar bunyi loceng gereja ketika azan dilaungkan. Lalu Maslamah melarang membunyikan loceng gereja pada waktu azan, manakala Syarhabil pula telah memanjangkan azannya dengan zikir-zikir dan lain-lain sebahagian besar daripada malam iaitu sebelum masuk waktu Subuh. (Lihat al-Mawa’izh wa al-I’tibar bi Zikr al-Khutat wa al-Athar, 4/51
Ketika Sultan Salahuddin al-Ayyubi (w.589H) naik menjadi pemerintah, beliau telah mengeluarkan perintah kepada para tukang azan untuk membacakan pada waktu malam sebelum Subuh di corong-corong tempat azan kitab aqidah yang dikenali sebagai al-‘Aqidah al-Mursyidah. Ia menjadi kelaziman ke atas para tukang azan untuk membacanya pada setiap kali sebelum masuk waktu Subuh di seluruh masjid-masjid di Mesir sehingga ke waktu ini. (Lihat al-Mawa’izh wa al-I’tibar bi Zikr al-Khutat wa al-Athar, 4/51
Antara yang menjadi amalan juga adalah pembacaan zikir-zikir di menara-menara masjid bertujuan untuk memperingatkan umat Islam pergi ke masjid pada siang Jumaat. Ia berlaku selepas tahun 700 Hijri. Ibn Kathir mengatakan, pada hari Jumaat bersamaan 6 Rabi’ul Akhir tahun 744 Hijri, menjadi tradisi dibaca zikir-zikir untuk memanggil menunaikan solat Jumaat di seluruh menara masjid di Damsyik termasuk di Masjid al-Umawi. (Lihat al-Mawa’izh wa al-I’tibar bi Zikr al-Khutat wa al-Athar, 4/51
Pengasas Kerajaan Tuluniyyah, Abu al-‘Abbas Ahmad bin Tulun (w.884H) pada zamannya telah menyediakan sebuah bilik dan dua belas orang tukang azan. Setiap malam, empat orang daripada mereka akan bermalam di bilik tersebut secara bergilir-gilir. Mereka akan bertakbir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah pada setiap masa dan membaca al-Qur’an secara berlagu, bertawassul, berqasidah dan melaungkan azan apabila masuk waktu solat. Setelah Ahmad bin Tulun meninggal dunia, anaknya Abu al-Juyush Khamarawaih telah meneruskan tradisi bapanya. (Lihat al-Mawa’izh wa al-I’tibar bi Zikr al-Khutat wa al-Athar, 4/51
Berdasarkan beberapa riwayat dan athar sejarah yang dinyatakan ini, jelas menunjukkan pembacaan al-Quran atau zikir sebelum masuk waktu solat menerusi menara masjid dan surau bukan sesuatu yang asing. Malah, perkara ini masih diteruskan di sebahagian negara Islam sehingga ke hari ini seperti di Mesir.
Menurut bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, al-marhum Syeikh ‘Atiyyah Saqr, dalam isu pembacaan zikir seperti tasbih dan istighathah sebelum masuk waktu solat Subuh, ia tidak termasuk perkara bid’ah. Dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah yang diterbitkan oleh Kementerian Wakaf Mesir (halaman 238) mengatakan bahawa ia merupakan bid’ah hasanah yang tiada nas yang melarangnya sebaliknya terdapat nas umum yang menganjurkannya. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 9/203)
Dalam laman web Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyebut, tiada larangan untuk membaca al-Qur’an di masjid-masjid sebelum azan bahkan ia merupakan suatu perkara yang baik, menghimpunkan manusia untuk mendengar al-Qur’an dan menggerakkan mereka untuk menghidupkan syiar Jumaat.[1]
Manakala Mufti Mesir sendiri, Prof. Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam berfatwa mengenai pembacaan al-Qur’an sebelum Subuh dengan mengatakan:
قراءة القرآن والاستماع إليه قَبلَ أذان الفجر أمرٌ مشروعٌ بعُمُومِ الأدلة الشرعية التي جاءت في الحَثِّ على قراءة كتاب الله والاستماع له والإنصات إليه مُطْلَقًا؛ كما في قوله تعالى: ﴿وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ﴾ [الأعراف: 204]، وقوله تعالى: ﴿وَاتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ كِتَابِ رَبِّكَ﴾ [الكهف: 27]، ولَم يأتِ ما يَمْنَعُ قراءةَ القرآن قَبلَ الأذان؛ ولذلك فإنَّ مَنْعَهُ هو المُخالِفُ للشرع، كما أنَّ الاجتماعَ لها مشروعٌ بعموم الأدلة التي جاءت في الحَثِّ على الاجتماع على الذِّكْرِ والقرآن؛ …وبِناءً على ذلك: فإنَّ قراءةَ القرآن قبل الأذان واجتماعَ الناس على سَمَاعِهِ هو أمرٌ مشروعٌ حَسَنٌ يَجمَعُ الناسَ على كتاب الله تعالى ويُهَيِّئُهُم لِأداءِ شعائرِ الصلاةِ والإمساك في الصيام، ولا إثم فيه ولا بدعة، وإنما البدعة في التضييق على المسلمين فيما فَسَحَ اللهُ تعالى لَهُم ورسولُهُ صلى الله عليه وآله وسلم، ويَجِبُ أنْ يُرَاعَى عند إذاعته ألَّا يَكُونَ مَصْدَرَ مُضَايَقَةٍ للمسلمين بِعُلُوِّ صوتِ مُكَبِّرِ الصوت، وأنْ يَكُونَ بِاختِيَارِ ذَوِي الأصواتِ الحَسَنَةِ مِن القُرَّاءِ كَمَا تَفعَلُ إذاعةُ القرآن الكريم.
Maksudnya, “Membaca al-Quran dan mendengarnya sebelum azan Subuh adalah perkara yang disyariatkan berdasarkan umumnya dalil yang menggalakkan bacaan al-Quran, mendengarnya dengan diam secara mutlak. Sebagaimana firman Allah, “Apabila dibacakan al-Quran maka dengarlah ia dan diamlah semoga kamu beroleh rahmat” [al-A’raf: 204], dan firman-Nya, “Dan bacalah apa yang diwahyukan kepadamu daripada Kitab tuhanmu”[al-Kahfi: 27], dan tiada (mana-mana dalil) yang menegah daripada membaca al-Quran sebelum azan. Oleh itu menegahnya itulah yang menyalahi syarak. Sebagaimana berkumpul (untuk mendengar) al-Quran itu juga disyarakkan berdasarkan dalil-dalil umum yang menggalakan untuk berzikir dan membaca al-Quran…berdasarkan yang demikian: sesungguhnya bacaan al-Quran sebelum azan dan perkumpulan ramai untuk mendengarnya juga adalah perkara yang disyariatkan, baik, mengumpulkan manusia dengan al-Quran dan menggerakkan mereka untuk menunaikan syiar solat dan menahan diri sebagai persediaan untuk berpuasa.” [2]
Ringkasnya, Mufti Mesir berpandangan tiada dalil yang menegah pembacaan al-Qur’an sebelum azan, sebaliknya terdapat dalil-dalil umum yang menggalakkan pembacaan al-Qur’an termasuk secara berhimpun untuk membacanya. Kaedah syarak mengatakan perkara mutlak memberi maksud keumuman tempat, masa dan orang, maka ia tidak harus dikhususkan kecuali dengan dalil. Jika tidak maka ia termasuk dalam menyempitkan sesuatu yang diberi keluasan oleh syarak.
Kesimpulan
Dalam suasana kita dilanda dengan wabak Covid-19 ini, disusuli dengan penutupan masjid dan surau rentetan daripada arahan PKP, maka tidak salah jika umat Islam ingin memperdengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran di masjid dan surau.
Bahkan hal ini telah dilaksanakan di sesetengah negara Islam seperti di Mautritania. Di sana, surat pekeliling pentadbiran dikeluarkan agar semua masjid di seluruh negara memperdengarkan bacaan al-Qur’an menerusi pembesar suara selama sejam. Ia bertujuan untuk memohon keberkatan dan kebergantungan kepada Allah SWT supaya mengangkat segala bala bencana, memelihara negara, umat Islam dan seluruh alam daripada bahaya wabak Covid-19.[3]
Justeru, terpulang kepada pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing untuk mengesyorkan kepada masjid dan surau memperdengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran selama tempoh yang sesuai sebelum azan, moga-moga ia mampu menarik keberkatan dan rahmat Allah SWT ke atas kita semua di samping mempersiapkan umat Islam setiap kali hampir tibanya waktu solat.
Unit Penyelidikan Ilmiah
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=13079&LangID=1
[2] Lihat www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=12516&LangID=1&MuftiType=0&_قراءة_القرآن_قبل_صلاة_الفجر_في_المسجد
[3] Lihat www.iqna.ir/ar/news/3475913/تعميم-بتلاوة-القرآن-عبر-مكبرات-الصوت-في-المساجد-بموريتانيا
PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan enakmen di peringkat Negeri.