Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang cara melakukan solat sunat taubat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut Kamus Dewan, taubat ialah sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Ia juga bermaksud kembali kepada Tuhan (dengan meninggalkan perbuatan -dan lain-lain- yg dilarang dan membuat apa-apa yang disuruh). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)[1]

Taubat bermaksud kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat. Manakala istitabah membawa erti meminta seorang untuk bertaubat.[2] Menurut Ibn Manzur, taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa.[3]

Manakala dari sudut istilah, taubat adalah suatu ibarat terhadap penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa), serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya.[4]

Bertaubat daripada dosa hukumnya adalah wajib. Allah SWT berfirman:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnyadan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.[5]

Ibn Kathir berkata: Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.[6]

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

MaksudnyaDan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.[7]

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu tetap dan berterusan atas hal yang demikian.[8]

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

  • Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan.[9]

Melakukan Solat Sunat Taubat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakr al-Siddiq R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Ali Imran: 135][10]

Nas ini menjadi dalil tentang wujudnya solat taubat. Inilah juga pendapat Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/211).

Berdasarkan hadis di atas, baginda Nabi SAW memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah SWT.

Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadis ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut seerta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya.[11]

Berikut kami kongsikan beberapa cara dalam melakukan solat taubat berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih daripada Nabi SAW. Seseorang yang ingin mengerjakan solat taubat perlulah:

Pertama: Mengambil wuduk dengan sempurna.

Dalam erti kata lain dengan meraikan perkara-perkara wajib dan sunat ketika wuduk. Sebahagian ulama lain menterjemahkan perkataan bersuci di dalam hadis tersebut sebagai mandi, dan mandi dengan air yang sejuk itu adalah lebih sempurna. Ini berkemungkinan diambil daripada sabda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطايايَ بالماءِ والثَّلْجِ والبَرَدِ

Maksudnya: Ya Allah, basuhkanlah dosa-dosaku dengan air, salji, dan kesejukan.[12]

Syeikh ‘Ali Al-Qari menyebut: Pada hadis tersebut isyarat kepada menyejukkan jantung hati daripada kepanasan hawa nafsu.[13]

Kami lebih cenderung bahawa bersuci di dalam hadis tersebut adalah merujuk kepada berwuduk. Ini berdasarkan siyaq al-hadis (konteks hadis) yang menunjukkan bersuci itu datang sebelum menunaikan solat.

 

Kedua: Menunaikan solat dua rakaat.

Inilah yang masyarakat kita namakan sebagai solat sunat taubat, walaupun tidak dinyatakan penamaan ini di dalam hadis. Manakala berkenaan apakah yang perlu dibaca di dalam solat, terdapat sebuah riwayat daripada Ibn al-Sunni yang mengatakan supaya dibaca surah al-Kafirun dan juga surah al-Ikhlas. Demikian juga boleh untuk dibaca ayat yang terdapat di dalam hadis tersebut iaitu ayat ke-135 dari surah Ali Imran, ataupun ayat yang berikut:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan suatu keburukan atau dia menzalimi dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia akan mendapati bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [14]

Inilah surah-surah atau ayat yang boleh dibaca semasa solat sunat taubat, dan kami berpandangan bahawa boleh juga untuk dibaca surah-surah atau ayat-ayat lain yang mudah untuk dibaca oleh seseorang yang mengerjakan solat sunat ini. Berdasarkan keumuman firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Dan bacalah kalian apa yang mudah daripada al-Quran. [15]

Ketiga: Beristighfar kepada Allah SWT

Sesudah seseorang itu selesai menunaikan solat sunat taubat, hendaklah dia melazimi dan memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT. Kami berpandangan bahawa hal ini adalah berdalilkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui. [16]

Istighfar boleh sahaja dilakukan dengan mengucapkan lafaz ‘’Astaghfirullah’’, ataupun istighfar dalam ertikata lain adalah bertaubat kepada Allah SWT. Iaitu seseorang itu menyesal terhadap maksiat yang dilakukan, berhenti dari melakukannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali buat selamanya.

Semoga dengan penjelasan ini dapat membantu kita dalam melakukan solat sunat taubat dengan sebaik mungkin. Semoga Allah SWT menerima taubat kita dan membersihkan jiwa-jiwa kita daripada kegelapan dosa dan maksiat. Ameen.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=taubat

[2] Lihat Basa’ir Zawi al-Tamyiz, 2/304

[3] Lihat Lisan al-Arab, 2/61

[4] Lihat al-Mughni, 14/192

[5] (Surah al-Nur: 31)

[6] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225

[7] (Surah Hud: 3)

[8] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411

[9] Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42

[10] Riwayat Abu Daud (1521)

[11] Lihat Mirqat al-Mafatih, 3/988

[12] Riwayat al-Bukhari (744) dan Muslim (598)

[13] Lihat Mirqaat al-Mafatih, 3/988

[14] (Surah al-Nisaa: 110)

[15] (Surah al-Muzzammil: 20)

[16] (Surah Ali Imran: 135)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *