Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan solat sunat rawatib yang muakkad dan yang tidak muakkad?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Solat Rawatib dan Kedudukannya

Solat sunat rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardhu lima waktu. Hikmah pensyariatannya ialah bagi menyempurnakan segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardhu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca.[1]

Berdasarkan takrifan yang disebutkan di atas, solat rawatib adalah solat yang terikat dengan solat fardhu sama ada ia dilakukan sebelum solat fardhu iaitu yang dinamakan sebagai solat qabliyyah atau dilakukan setelah solat fardhu iaitu yang disebut sebagai solat ba’diyah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلاَةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Seafdhal-afdhal solat selepas solat fardhu adalah solat pada pertengahan malam.”[2]

Imam Ibn Rajab al-Hanbali apabila mensyarahkan hadis di atas berkata: Iaitu maksudnya (sebaik-baik solat) selepas solat fardhu dan yang mengikutinya dari solat solat sunat rawatib. Sesungguhnya solat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu adalah lebih afdhal dari qiyamullail di sisi jumhur para ulama kerana keterikatannya dengan solat solat fardhu.[3]

Solat rawatib sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib yang setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat ba’diyah. Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan).

Pertama: Solat Rawatib yang Muakkad

Adapun tentang jumlah rakaat solat rawatib yang mu’akkad, telah thabit hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.

MaksudnyaTidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.[4]

Dalam hadith yang lain dijelaskan pula perincian solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang disebut dalam hadith di atas. Daripada Ummu Habibah R.’Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

MaksudnyaBarang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.[5]

Melalui riwayat Ibnu ‘Umar R.A pula menunjukkan jumlah rakaat solat rawatib adalah sepuluh. Beliau berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

MaksudnyaAku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.[6]

Dari sini dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan kedua-dua jumlah rakaat iaitu dua belas mahupun sepuluh rakaat solat sunat rawatib. Perbezaan tersebut adalah disebabkan oleh perbezaan jumlah rakaat ketika melaksanakan solat qabliyah Zohor.

Para ulama Syafi’iyyah umumnya telah memilih pandangan bahawa bilangan rakaat rawatib yang mu’akkad ialah sebanyak 10 rakaat. Ini sebagaimana yang termaktub dalam Matan Zubad ibn Ruslan (hlm. 12), iaitu antara matan asasi dalam fiqh mazhab Syafi’e:

ثِنْتَانِ قبلَ الصُّبْح والظُّهْرِ كَذَا   وبَعدَهُ ومَغْرِبٍ ثُم العِشَا

Maka kita simpulkan di sini solat-solat sunat rawatib yang mu’akkad ialah:

  • Dua rakaat sebelum Subuh
  • Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
  • Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
  • Dua rakaat selepas Maghrib
  • Dua rakaat selepas solat Isya’[7]

Kedua: Solat Rawatib yang Tidak Mu’akkad

Solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad pula ialah:

  • Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
  • Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
  • Empat rakaat sebelum Asar
  • Dua rakaat sebelum Maghrib
  • Dua rakaat sebelum Isya[8]

Dalil disyariatkan solat-solat tersebut adalah keumuman sabda Rasulullah SAW:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ.

MaksudnyaDi antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya.[9]

Di samping itu terdapat juga hadis khusus yang meriwayatkan anjuran untuk mengerjakan solat qabliyah Asar sebanyak empat rakaat. Daripada Ibnu ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا.

MaksudnyaAllah SWT mengasihi orang yang mengerjakan solat empat rakaat sebelum Asar.[10]

Berkaitan solat qabliyah Maghrib pula, telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, dia berkata:

كَانَ الْمُؤَذِّنُ إِذَا أَذَّنَ قَامَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِيَ حَتَّى يَخْرُجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُمْ كَذَلِكَ يُصَلُّونَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْمَغْرِبِ وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ شَيْءٌ.

MaksudnyaBiasanya apabila muazzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi SAW berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi SAW keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat dua rakaat sebelum (qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah.[11]

Begitu juga dengan solat sunat qabliyah Isya’ disyariatkan melalui sabda Baginda SAW:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ.

MaksudnyaDi antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya.[12]

(Lihat Hasyiyah Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/415)

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, bilangan rakaat solat sunat rawatib yang mu’akkad ialah 10 rakaat, manakala yang tidak mu’akkad pula ialah 12 rakaat sebagaimana yang telah dijelaskan. Namun yang terbaik adalah kita perbanyakkan solat sunat semampu mungkin tanpa mengira sama ada ia mu’akkad ataupun tidak.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

[1] Lihat al-Iqna’, 1/115; Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/413-414

[2] Riwayat Muslim (1163)

[3] Lihat Latha’if al Ma’arif, 1/34

[4] Riwayat Muslim (728)

[5] Riwayat al-Tirmizi (380) dan Ibn Majah (1196)

[6] Riwayat al-Bukhari (1180)

[7] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 284 dan Matla’ al-Badrain, 1/132

[8] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 285 dan Matla’ al-Badrain, 1/132-133

[9] Riwayat al-Bukhari (624)

[10] Riwayat al-Tirmizi (430)

[11] Riwayat al-Bukhari (625)

[12] Riwayat al-Bukhari (624)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *