Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bilakah tempoh waktu bagi sepertiga akhir malam? Setakat kefahaman saya, jam 7-12 dikira malam, manakala jam 1-6 dikira pagi. Dan bilakah waktu kita mengerjakan solat Tahajjud?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Bermula waktu malam adalah dengan masuknya waktu Maghrib dan berakhir dengan tamatnya waktu Isyak. Jika diambil kira waktu solat semasa di Kuala Lumpur mengikut kaedah 24 jam, waktu Maghrib bermula pada jam 19:21 dan berakhirnya waktu Isyak pada jam 05:52. Maka, jumlah waktu malam ialah 10 jam 50 minit. Jika sepertiga malam ialah 3 jam 50 minit, maka bermulanya sepertiga malam terakhir ialah kira-kira pada jam 02:21 sehingga Subuh.

Berkenaan solat sunat Tahajjud, solat ini dilaksanakan, selepas bangun dari tidur dan sebelum masuk waktu subuh.[1] Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.” [2]

Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: (termasuk) yang dikehendaki dengan “turun” ialah turunnya Ketetapan—Nya, Rahmat-Nya, Kelembutan-Nya dan Pengampunan-Nya.

Solat Tahajjud memiliki kelebihan yang besar, sepertimana disebut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ؛ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam.”[3]

Ibn Rajab berkata: “Waktu tahajud di malam hari adalah sebaik-baik waktu pelaksanaan solat sunat. Ketika itu hamba semakin dekat dengan Tuhannya. Waktu tersebut adalah saat dibukakannya pintu langit dan terkabulnya doa. Saat itu juga adalah waktu untuk mengemukakan pelbagai hajat kepada Allah SWT.”[4]

Akhir kalam, kami cenderung bahawa pembahagian malam ini hanyalah bersifat taqribi (lebih kurang/anggapan paling hampir) bukannya tahdidi (secara tepat). Terpulang kepada masing-masing untuk berqiamullail mengikut keselesaan dan kemampuan.

Semoga Allah kurniakan kepada kita cintakan solat malam dan Tahajjud dan melayakkan kita mendapat kedudukan yang terpuji pada hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT:

‏ وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah (sembahyang tahajjud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

(Surah al-Isra’: 79)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/217

[2] Riwayat al-Bukhari (1145)

[3] Riwayat Muslim (1163)

[4] Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 77

Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *