Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apabila terdapat ruang kosong dalam saf solat, siapa yang sepatutnya mengisi ruang kosong tersebut? Adakah daripada saf belakang ke hadapan, atau dari sebelah kiri ke kanan, atau kanan ke kiri?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Perbuatan meluruskan dan memenuhkan saf merupakan perbuatan yang dituntut sebelum seseorang itu mendirikan solat. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan akan kelebihan perbuatan tersebut. Selain itu, perbuatan ini termasuk di dalam perkara yang sunat dilakukan sebelum solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 236)
Dalam isu memenuhkan saf yang kosong, kita boleh membahagikannya kepada dua keadaan seperti berikut:
Pertama: Keadaan Saf Masih Belum Penuh
Sekiranya saf masih belum penuh disebabkan bilangan jemaah yang sedikit maka kedudukan saf adalah seperti berikut:
Imam berada di tengah-tengah saf solat. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَسِّطُوا الإِمَامَ وَسُدُّوا الْخَلَلَ
Maksudnya: “Jadikanlah kedudukan imam berada di tengah dan tutuplah ruang-ruang kosong.”[1]
Manakala makmum pula hendaklah mengisi kedudukan di bahagian belakang imam kanan dan kiri, dan lebih diutamakan untuk dipenuhkan bahagian kanan saf. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat terhadap bahagian saf yang kanan.”[2]
Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menjelaskan: “Pada hadis ini menunjukkan istihbab (tuntutan) untuk berada di bahagian kanan saf yang pertama dan saf-saf yang selepasnya.”[3]
Ini menunjukkan bahawa kedudukan makmum di belakang imam hendaklah diutamakan bahagian kanan saf terlebih dahulu dan hukumnya adalah sunat.
Kedua: Keadaan Saf yang telah Penuh
Manakala apabila keadaan saf telah penuh, dan ada kekosongan disebabkan terdapatnya jemaah yang mufaraqah (berpisah) dari solat sama ada disebabkan keuzuran atau sebagainya, maka siapakah yang perlu merapatkan saf? Adakah perlu jemaah yang di belakang melangkah ke hadapan ataupun jemaah yang berada di dalam saf tersebut merapatkannya ?
Maka kami menyatakan bahawa dalam hal sebegini, kekosongan saf tersebut perlulah diisi dan bukannya dibiarkan kosong. Ini seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW:
وَسُدُّوا الْخَلَلَ
Maksudnya: “Dan tutuplah ruang-ruang kosong.”[4]
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَلاَ تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Janganlah kamu biarkan kekosongan (saf) itu untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf Allah akan menyambungkannya. Sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskan dirinya.”[5]
Hadis di atas ini melarang dari saf dibiarkan dalam keadaan kosong tanpa diisi. Kelebihan buat mereka yang menyambungkan saf dan memenuhkan ruang kosong adalah dia akan disambungkan dengan rahmat Allah. Manakala keburukan bagi mereka yang tidak merapatkan saf adalah terputusnya dia dari rahmat dan ‘inayah Allah SWT.
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu, sesungguhnya lurusnya saf merupakan antara tanda kesempurnaan solat.”[6]
Hadis di atas ini merupakan suatu tuntutan untuk meluruskan saf di dalam solat. Bahkan ia merupakan antara tanda lengkap dan tepatnya solat yang sedang didirikan. Bahkan diberikan perumpamaan Rasulullah SAW meluruskan saf para sahabat seperti diluruskan anak-anak panah. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir R.A beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُسَوِّي صُفُوفَنَا حَتَّى كَأَنَّمَا يُسَوِّي بِهَا الْقِدَاحَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah meluruskan saf-saf kami seakan-akan baginda meluruskan anak-anak panah.”[7]
Hadis ini memberi petunjuk kepada kita bahawa disamakan kelurusan saf dalam solat seperti lurusnya anak-anak panah.
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa isu paling utama di sini adalah kelurusan saf dan tuntutan untuk mengisi kekosongan saf yang berlaku. Ia berbalik kepada feqh (kefahaman) makmum itu sendiri. Sekiranya makmum yang berada di dalam saf yang sama melihat tidak ada orang dari belakang yang mengisi kekosongan saf tersebut, hendaklah dia memenuhkannya sama ada dengan bergerak dari arah kiri ke kanan, atau dari arah kanan ke kiri. Kerana dalam keadaan ini, mengisi kekosongan itu adalah lebih utama. Wallahu a’lam.
Namun sekiranya makmum yang berada di belakang saf melihat kekosongan saf di hadapannya, maka dia hendaklah bersegera mengisi kekosongan tersebut bagi mendapat fadhilat bersegera ke arah kebaikan serta fadhilat menyambungkan saf. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama.
Jawapan kami ini ketika mana tiada pandemik Covid-19 dan dalam keadaan normal. Adapun, apabila berlaku wabak Covid-19 dengan kebolehjangkitan yang tinggi, maka telah difatwakan keharusan untuk menjarakkan saf.[8]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H
[1] Riwayat Abu Daud (681)
[2] Riwayat Abu Daud (676)
[3] Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/281
[4] Riwayat Abu Daud (681)
[5] Riwayat Abu Daud (666)
[6] Riwayat al-Bukhari (723)
[7] Riwayat Muslim (436)
[8] Lihat Majalah al-Bayan Isu Penjarakan Fizikal Semasa Solat Berjemaah di Masjid dan Surau.