Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang meninggalkan solat dengan sengaja, tetapi dengan niat, dia pasti akan qadha’ semula nanti?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan jawapan ini dengan nas al-Quran dan al-Hadith tentang ancaman bagi yang meninggalkan solat dengan sengaja. Kami nukilkan daripada kitab al-Kabair (hlm. 30-36) oleh Imam al-Zahabi seperti berikut:
“Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.
Allah SWT berfirman:
فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً
Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.”[1]
Ibn Abbas RA berkata: “Pengertian ‘meninggalkan solat’ tersebut bukanlah beerti meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan ialah mengakhirkannya dari waktunya.”
Said bin Musayyib Rahimahullah pula berkata: “Maksud ‘meninggalkan solat’ adalah seseorang yang yang tidak solat zohor kecuali sehingga datangnya waktu asar, dan tidak solar asar sehingga datangnya waktu maghrib, dan tidak solat maghrib sehingga datangnya waktu isya’ dan tidak solat isya’ sehingga datangnya waktu fajar solat subuh, kemudian tidak menunaikan solat subuh sehingga terbitnya matahari. Maka sesiapa yang mati di atas cara yang sedemikian itu dan tidak bertaubat (sebelum matinya), maka Allah SWT akan meletakkannya sebagai orang yang berdosa, dan kerana itu juga dia akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam pada bahagian yang paling dalam sekali.
Firman Allah SWT:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”[2]
Iaitu lalai daripada menunaikan solat serta mensia-siakan solat.”
Sa’ad bin Abi Waqqas RA berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang melalaikan solatnya, maka Baginda menjawab: “Iaitu mengakhirkan waktu solat (daripada waktunya yang asal sehingga sampai kepada waktu solat yang lain). Mereka itu tetap dinamakan orang-orang yang menunaikan solat iaitu sebagai musalliin. Akan tetapi kerana mereka telah mensia-siakan dan mengakhirkan waktu solat tersebut, maka mereka diancam dengan neraka Wail, iaitu seksaan yang teramat pedih di dalamnya. Ada juga yang mengatakan Wail itu adalah sebuah lembah di dalam neraka Jahannam, yang sekiranya gunung-gunung di dunia ini dicampakkan ke dalamnya, maka gunung-gunung itu akan menjadi cair akibat kepanasannnya yang teramat. Maka itulah tempat bagi mereka yang mensia-siakan solatnya dan mengakhirkan solatnya sehingga keluar dari waktunya. Kecuali jika dia telah bertaubat kepada Allah SWT dan menyesal akan kesalahannya itu.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”[3]
Menurut ahli tafsir, katanya: “Zikir kepada Allah atau mengingati Allah itu di dalam ayat ini, iaitu mengerjakan solat lima waktu. Sesiapa yang disibukkan oleh hartanya ataupun anak-anaknya atau urusan perniagaan jual beli dan mencari saraan hidup ataupun disibukkan dengan pengurusan tanah kebunnya sehingga membuatkannya lalai dari mengerjakan solat sehingga keluar daripada waktunya, maka mereka itu akan tergolong dalam kategori orang-orang yang paling rugi, ini kerana Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.”[4]
Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran tentang kedudukan penghuni neraka yang tidak mengerjakan solat. Firman Allah SWT:
مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (٤٢) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (٤٣) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (٤٤) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (٤٥) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (٤٦) حَتَّى أَتَانَا الْيَقِينُ (٤٧) فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ
Maksudnya: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.”[5]
Nabi SAW bersabda lagi:
الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: “Perjanjian diantara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.”[6]
Dan Nabi SAW juga bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya, yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik, iaitu meninggalkan solat.”[7]
Yang memberi makna bahawa jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkarinya akan membawa kepada kafir. Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sabda Nabi SAW:
مَنْ فَاتَتْهُ صَلَاةُ الْعَصْرِ حَبِطَ عَمَلُهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat asar, maka sia-sialah amalnya.”[8]
Sabda Nabi SAW lagi:
مَنْ تَرَكَ الصلاةَ متعمِّدًا فقَدْ بَرِئَتْ منْهُ ذِمَّةُ اللهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas dari perlindungan Allah.”[9]
Nabi SAW bersabda lagi:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ، وَيُقِيْمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكاَةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالىَ
Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, menegakkan solat, menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka ada pada Allah SWT.”[10]
Nabi SAW bersabda:
مَنْ حافظَ عليْهَا كانَتْ له نورًا وبرهانًا ونجاةً يومَ القيامةِ، ومَنْ لمْ يحافظْ عليهَا لمْ يكنْ لَهُ نورٌ ولا برهانٌ ولا نجاةٌ وحُشِرَ يومَ القيامةِ معَ فرعَونَ وهامانَ وقارونَ وأُبَيِّ بنِ خلفٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.”[11]
Umar bin Khattab RA berkata: “Seseorang itu tidak akan bernasib baik di dalam Islam jika dia meninggalkan solat.”
Ali RA telah ditanya tentang wanita yang tidak solat, maka beliau menjawab: “Sesiapa yang tidak solat, maka dia sebagai tidak beragama.” Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim.
Ibn Mas’ud RA berkata: “Sesiapa yang tidak solat maka dia tidak beragama.”
Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Sesiapa yang meninggalkan solat sekali sahaja dengan sengaja, maka dia akan mengadap Allah SWT dalam keadaan mendapat kemurkaan.” Riwayat Ahmad dan Abu Daud.
Ibn Hazm Rahimahullah berkata: “Tidak ada dosa yang lebih besar sesudah syirik, kecuali bagi orang yang melewatkan solatnya dari waktunya yang sebenar, atau dia membunuh seorang mukmin dengan cara yang salah.”
Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah berkata: “Sesiapa yang meninggalkan solat, maka sungguh dia telah menjadi kafir.” Demikian juga pendapat Ayyub al-Sakhtiani.
Aun bin Abdullah Rahimahullah berkata: “Sesungguhnya seseorang itu jika telah memasuki alam kubur, maka yang ditanyakan adalah tentang solatnya, dan itulah yang pertama ditanyakan. Jika telah lulus maka akan dilihat pada amalnya yang lain. Dan jika solatnya tidak memenuhi syarat, maka amalnya yang lain tidak akan dilihatnya lagi.”[12]
Meninggalkan Solat dengan Niat untuk Qadha
Dalam menjawab isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Sesungguhnya perbuatan meninggalkan solat secara sengaja adalah haram dan berdosa besar. Imam al-Zahabi menyebutkan hakikat ini secara panjang lebar dalam kitabnya yang menjelaskan tentang dosa-dosa besar, iaitu al-Kaba’ir (hlm. 30-36) sepertimana yang kami nukilkan pada awal perbincangan. Sebahagian ulama bahkan menghukum orang yang meninggalkan solat dengan sengaja sebagai keluar daripada Islam atau kufur.
Banyak nas-nas al-Quran dan hadis yang menunjukkan ancaman keras dan balasan azab yang besar terhadap pelakunya. Justeru kami menasihati agar kita jangan memandang enteng isu meninggalkan solat secara sengaja sekalipun akan menggantikannya. Meninggalkan solat kerana malas juga merupakan perangai golongan nifaq (munafiq).
Jika apa yang disebutkan dalam soalan di atas sudah berlaku atau ingin dibuat, maka kami mengesyorkan agar taubat segera dilakukan, agar tidak terwujud langsung di dalam hati niat untuk meninggalkan solat. Kemudian, wajiblah melakukan qadha’. Sesali perbuatan dan tidak mengulangi lagi.
Renungilah firman Allah SWT dalam Surah al-Muddaththir:
مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
Maksudnya: Apa yang telah kamu berbuat sehingga masuk ke Neraka Saqar? Mereka menjawab,’Kami (di dunia) bukan daripada orang yang mendirikan solat.’[13]
Justeru, ingatlah yang solat itu ada waktunya yang mesti ditunaikan. Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”[14]
Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu, yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji.[15]
Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefarduan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya dan mencuaikannya. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)
Begitu juga, pemeliharaan solat adalah amat dituntut. Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”[16]
Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.”[17]
Semoga Allah kurniakan kepada kita kekuatan dalam melaksanakan solat dalam waktu, bahkan di awal waktu. Amin.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H
[1] (Surah Maryam: 59-60)
[2] (Surah al-Ma’un: 4-5)
[3] (Surah al-Munafiqun: 9)
[4] Riwayat al-Tirmizi (413), Ahmad (8017), Abu Daud (864) dan Ibn Majah (1425)
[5] (Surah al-Mudatthir: 42-48)
[6] Riwayat Ahmad (23403), al-Nasaie (326), al-Tirmizi (2621) dan Ibn Hibban (1454)
[7] Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)
[8] Riwayat al-Bukhari (553)
[9] Riwayat al-Baihaqi (14895) dan Ahmad (28007)
[10] Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (20)
[11] Riwayat Ahmad (6540) dan al-Darimi (2721)
[12] Lihat al-Kabair oleh Imam al-Zahabi, hlm. 30-36
[13] (Surah al-Muddaththir: 42-43)
[14] (Surah al-Nisa: 103)
[15] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258
[16] Surah al-Mukminun (9)
[17] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714