Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Apakah hukumnya solat dengan pakaian yang basah dengan air banjir dan berlumpur? Hal ini kerana saya terlibat sebagai sukarelawan banjir dan kadang-kadang tidak sempat hendak menukar pakaian untuk solat disebabkan oleh kekangan masa dan lain-lain perkara. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa.[2]

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin.[3]

Syarat sah solat

Di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.[4]

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Solat dengan Pakaian Berlumpur dan Dibasahi Air Banjir

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa hukum asal tanah ialah suci. Hal ini kerana Allah SWT menjadikan di setiap permukaan bumi sebagai tempat sujud (untuk mendirikan solat) di atasnya dan menjadikan tanahnya suci untuk bertayammum jika sekiranya ketiadaan air bagi umat Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda:

وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya:Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.”[5]

Begitu juga dengan air banjir. Hukum asalnya adalah suci dan menyucikan kerana ia termasuk dalam air mutlak. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang.[6] Lebih-lebih lagi, air banjir kebiasaannya adalah limpahan air daripada air sungai, air laut, air hujan atau seumpamanya, yang termasuk dalam kategori air yang boleh digunakan untuk bersuci sebagaimana telah disebutkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili.[7]

Selain itu, perkara ini juga bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.”[8]

Tambahan lagi, al-Sa‘di juga ada menyebutkan kaedah:

والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ

                                                                                    “Asal bagi air kita adalah suci bersih.

                                                                                                          Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”

Syeikh Hamad bin Abdullah mensyarahkan kaedah ini dengan menyatakan bahawa makna kaedah ini ialah hukum asal bagi air, tanah, pakaian dan batu adalah suci bersih. Dalil yang menunjukkan kepada sucinya air adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إنَّ الماءَ طهورٌ لا ينجِّسُهُ شيءٌ

Maksudnya:Sesungguhnya (hakikat) air itu adalah suci dan mensucikan, tidak ada sesuatu pun yang menajiskannya.

Oleh sebab itu, hukum asal bagi air laut, air sungai, air mata air dan seumpamanya adalah suci bersih. Justeru, apabila kamu terkena air daripada saluran dan kamu tidak tahu, adakah air tersebut suci bersih ataupun bernajis? Maka, kami katakan kepada kamu: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci bersih dan atas sebab itulah, kamu tidak diwajibkan untuk membersihkan pakaian kamu daripadanya.[9]

Dapat difahami daripada kaedah di atas bahawa mana-mana pakaian, air, tanah dan sebagainya adalah kekal suci dan bersih selagi mana tiada bukti tentang kenajisannya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang yang mendirikan solat dengan pakaiannya yang berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda yang jelas terkena najis kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.

Walau bagaimanapun, jika ada kesempatan adalah lebih baik seseorang itu dapat memakai pakaian yang lebih elok, bersih dan sesuai kerana ia lebih memberi keselesaan dan mendatangkan kekusyukkan. Hal ini kerana tujuan solat adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk dan tawaduk bagi menzahirkan sifat kehambaan kepada-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24/12/2021 bersamaan 20 Jamadil Awal 1443H

 

[1] Surah al-Muddatthir: 4

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 776

[3] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895

[4] Riwayat Abu Daud (365)

[5] Riwayat al-Bukhari (438)

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31

[7] Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79

[8] Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114

[9] Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *