Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini saya dilanda musibah banjir dan habis pakaian dan harta benda saya musnah. Alhamdulillah, ramai rakan-rakan dan kenalan saya ingin membantu termasuk mereka yang bukan beragama Islam. Ada dalam kalangan kenalan saya yang bukan Islam memberikan saya sejumlah pakaiannya yang sudah tidak dipakai untuk membantu saya. Jadi, apakah hukumnya solat dengan menggunakan pakaian tersebut? Sebab saya tak tahu, adakah ia sudah terkena najis sebelumnya atau tidak. Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa.[2]

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin.[3]

Syarat sah solat

Di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.[4]

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Begitu juga di antara syarat sah solat ialah menutup aurat dengan sempurna. Batasan aurat lelaki ketika solat ialah bahagian badan antara pusat hingga lutut. Oleh itu wajib menutupnya dan tidak boleh kelihatan sedikitpun anggota tersebut ketika bersolat. Manakala batasan aurat perempuan ketika solat pula ialah seluruh badan selain muka dan dua tapak tangan. Oleh itu wajib menutupnya dan tidak boleh kelihatan sedikitpun ketika bersolat selain anggota yang dikecualikan tersebut.[5]

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi bahawa menutup aurat ialah syarat sah solat. Jika mana-mana bahagian aurat seseorang yang mendirikan solat terdedah, maka tidak sah solatnya.Tidak kiralah yang terdedah itu sedikit atau banyak, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada solat secara berjemaah atau bersendirian, sama ada solat fardhu, solat sunat, solat jenazah, tawaf, sujud tilawah atau sujud syukur.[6]

Solat dengan Pakaian Pemberian Orang Bukan Islam

Terdapat riwayat riwayat daripada Mughirah bin Syu‘bah bahawa:

أن النبيَّ ﷺ لبس جُبَّةً روميَّةً ضيقةَ الكمين

Maksudnya:Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang mana kedua tangan bajunya sempit.[7]

Dalam riwayat yang lain disebutkan jubah dari negeri Syam yang sempit kedua tangan bajunya.[8]

Sebagaimana yang kita ketahui, Rom ketika itu adalah kerajaan Kristian. Begitu juga dengan negara-negara lain pada masa tersebut, masih belum lagi beragama Islam. Namun, Baginda SAW memakai pakaian mereka.

Mengenai perkara ini, terdapat satu kaedah menyebutkan bahawa:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.”[9]

Selain itu, al-Sa‘di menjelaskannya lagi dengan lebih lanjut melalui kaedah:

والأَصْلُ فِي مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ

                                                                              “Asal bagi air kita adalah suci bersih.

                                                                                                             Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”

Syeikh Hamad bin Abdullah mensyarahkan kaedah ini dengan menyatakan bahawa makna kaedah ini ialah hukum asal bagi air, tanah, pakaian dan batu adalah suci bersih. Dalam erti kata lain, sekiranya kamu mendapati suatu pakaian yang kamu tidak tahu sama ada ia terkena najis ataupun tidak. Maka, dalam hal ini kamu boleh memakai pakaian tersebut dan mendirikan solat dengan memakainya, sekalipun pakaian itu daripada orang kafir kerana hukum asal bagi pakaian adalah suci bersih.

Begitulah juga, bagi pakaian orang kafir yang telah digunakan, harus untuk kita solat dengan memakainya, selama mana kita tidak mengetahui akan kenajisannya. Walau bagaimanapun, membasuhnya terlebih dahulu adalah lebih baik dan afdhal — kerana keluar daripada khilaf itu adalah lebih dianjurkan.[10]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk memakai pakaian pemberian orang bukan Islam semasa mendirikan solat selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda yang jelas terkena najis dan dapat menutup auratnya ketika solat dengan sempurna.

Walau bagaimanapun, sekiranya ada kesempatan maka membasuhnya terlebih dahulu sebelum digunakan adalah lebih baik dan afdhal.

Begitu juga kami turut melampirkan di sini doa bagi memakai pakaian yang boleh untuk kita sama-sama amalkan dalam kehidupan seharian iaitu:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي، وَلَا قُوَّةٍ

Maksudnya:Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku (pakaian) ini, dan memberi rezeki kepadaku tanpa daya dan kekuatan daripadaku.[11]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25/12/2021 bersamaan 21 Jamadil Awal 1443H

[1] Surah al-Muddatthir: 4

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 776

[3] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895

[4] Riwayat Abu Daud (365)

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/172

[7] Riwayat al-Tirmizi (1768)

[8] Riwayat al-Bukhari (363) dan Muslim (274)

[9] Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114

[10] Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3

[11] Riwayat Abu Daud (4023)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *