Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang melakukan solat sunat rawatib selepas dia selesai melakukan solat jamak zohor dan asar dalam waktu zohor (jamak taqdim)? Bukankah tidak boleh melakukan solat sunat selepas mengerjakan solat asar? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya :

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”[1]

Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya. Saidina Umar R.A pernah bertanyakan berkaitan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bersabda:

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ ، فَاقْبَلُوا صَدَقَةَ اللَّهِ.

Maksudnya: Ia merupakan pemberian sedekah dengannya oleh Allah SWT, maka terimalah pemberian itu daripada Allah SWT.”[2]

Jamak dari sudut bahasa adalah kalimah yang berlawanan dengan memisahkan. Manakala yang dimaksudkan dengan jamak solat di sisi para fuqaha adalah melaksanakan solat zohor bersama solat asar dan juga solat maghrib bersama solat isyak sama ada secara taqdim ataupun ta’khir.

Terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu jamak (menghimpunkan) antara dua solat seperti yang disebutkan oleh para fuqaha’ di dalam kitab-kitab mereka. Antaranya ialah jamak ketika melakukan permusafiran. Oleh kerana safar itu disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai bahagian dari azab maka ia juga termasuk dalam kategori keuzuran yang membolehkan seseorang untuk melakukan solat jamak. Ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal R.A beliau berkata:

 خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ فَكَانَ يُصَلِّي الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW pada peperangan Tabuk dan baginda menunaikan solat zohor dan juga asar secara bersama (jamak) begitu juga solat maghrib dan isya’ secara bersama.”[3]

Manakala solat rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardhu lima waktu. Hikmah pensyariatannya ialah bagi menyempurnakan segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardhu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca.[4]

Berdasarkan takrifan yang disebutkan di atas, solat rawatib adalah solat yang terikat dengan solat fardhu sama ada ia dilakukan sebelum solat fardhu iaitu yang dinamakan sebagai solat qabliyyah atau dilakukan setelah solat fardhu iaitu yang disebut sebagai solat ba’diyah.

Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan). Kami telah menjelaskan isu ini secara panjang lebar dalam Ahkam Syar’iyyah #78 Solat Rawatib yang Muakkad dan Tidak Muakkad.[5]

Solat rawatib memiliki kelebihan yang besar. Ibn Rajab berkata: Sesungguhnya solat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu adalah lebih afdhal dari qiyamullail di sisi jumhur para ulama kerana keterikatannya dengan solat-solat fardhu.[6]

Isu Solat Rawatib Selepas Solat Jamak

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW untuk bertanyakan berkenaan Islam, Baginda bersabda:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. فَقَالَ هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُنَّ قَالَ  لاَ. إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ

Maksudnya: “Lima kali solat pada siang dan malam. Lelaki itu bertanya : Adakah ada solat selain dari itu. Nabi SAW menjawab: Tiada kecuali solat Tatawwu’ (solat sunat).”[7]

Begitu juga melakukan solat sunat rawatib merupakan sunnah Nabi SAW yang mana Baginda tidak pernah meninggalkannya. Ini berdasarkan kenyataan daripada Ibnu Umar R.Anhuma, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْجُمُعَةِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ.

Maksudnya: “Aku solat bersama Rasulullah dua rakaat sebelum zohor, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas jumaat, dua rakaat selepas maghrib dan dua rakaat selepas isyak.”[8]

Berkenaan persoalan yang dikemukakan, kami melihat tiada kesalahan dan larangan untuk melakukan solat sunat rawatib  sejurus selepas menunaikan solat zohor dan asar secara jamak. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi, kata beliau: “Ketika menjamakkan solat maghrib dan isyak, dia perlu menunaikan dua solat fardu (dahulu), kemudian (sudah selesai) baru solat sunat maghrib, kemudian solat sunat Isyak kemudian solat witir.

Aku (Imam al-Nawawi) menyatakan ini juga adalah pandangan Imam al-Rafi’i. Adapun jika menjamakkan solat zohor dan asar, maka cara tersebut adalah syaz (ganjil) lagi lemah. Yang paling benar menurut para ulama yang muhaqqiq adalah melakukan solat sunat sebelum zohor dahulu, kemudian baru menjamakkan solat zohor dan asar kemudian tunaikan solat sunat ba’diah zohor kemudian baru solat sunat asar.”[9]

Imam al-Nawawi juga menyatakan di dalam kitabnya Raudhah al-Talibin bahawa solat sunat ba’diah zohor dan qabliah asar hanya boleh dilakukan setelah selesai melakukan kedua-dua solat tersebut.

Pandangan ini juga disokong oleh tokoh di dalam mazhab Syafi’I iaitu Sheikh Zakariya al-Ansari. Kata beliau: “Jika seseorang menjamakkan solat zohor dan asar secara jamak taqdim ataupun ta’khir, dia solat sunat qabliah zohor dahulu, kemudian baru menjamakkan dua solat fardu (iaitu zohor dan asar), kemudian solat sunat ba’diah zohor kemudian baru solat sunat asar.”[10]

Ringkasan apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan Sheikh Zakariyya al-Ansari adalah seperti berikut:

  • Jika menjamakkan solat zohor dan asar sama ada jamak taqdim atau ta’khir, lakukan solat sunat qabliah dahulu kemudian baru menjamakkan solat zohor dan asar kemudian solat sunat ba’diah zohor kemudian baru tunaikan solat sunat asar.
  • Jika menjamakkan solat maghrib dan isyak. Tunaikan solat maghrib dan isyak terlebih dahulu kemudian solat sunat maghrib. Kemudian solat sunat isyak dan baru diikuti dengan solat sunat witir.

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa tiada halangan dan dibenarkan untuk menunaikan solat sunat rawatib sejurus selepas menjamakkan solat zohor dan asar. Semoga Allah memberi kita hidayah dan kekuatan untuk sentiasa menunaikan solat sunat sebagai tambahan dan bekalan menuju hari akhirat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

[1] Surah al-Nisa’: 101

[2] Riwayat Ibn Hibban (2739)

[3] Riwayat Muslim (706)

[4] Lihat al-Iqna’, 1/115; Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/413-414

[5] Lihat di pautan berikut: https://maktabahalbakri.com/78-2/

[6] Lihat Latha’if al Ma’arif, 1/34

[7] Riwayat al-Bukhari (1758) dan Muslim (109)

[8] Riwayat al-Bukhari (1165)

[9] Lihat Raudhah al-Talibin, 1/146

[10] Lihat Asna al-Matalib, 1/245

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *