Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum solat seseorang yang bergerak lebih daripada tiga kali disebabkan dia terkena penyakit Parkinson?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Penyakit Parkinson

Bagi menjawab persoalan di atas, terlebih dahulu kita perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan penyakit Parkinson. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat memberi definisi bahawa ia adalah penyakit neurologi yang dicirikan dengan kurang pergerakan, kekakuan otot dan kaki tangan yang terketar-­ketar.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit Parkinson adalah satu penyakit saraf yang boleh berlaku di kalangan warga emas, yang berlaku disebabkan oleh kerosakan sel otak yang mengakibatkan pengurangan sejenis bahan kimia yang dipanggil dopamin.

Antara tanda dan gejala penyakit ini ialah:

  • Menggeletar (pada jari, tangan, kaki, rahang dan / atau muka)
  • Kaku pada anggota badan (tangan, kaki dan / atau tubuh badan – Rigidity)
  • Pergerakan badan yang perlahan (Bradykinesia)
  • Masalah ketidakseimbangan postur dan kordinasi badan yang boleh mengakibatkan jatuh.

Gejala awal yang berlaku mungkin tidak jelas. Namun apabila penyakit ini bertambah serius, gejala ini akan mempengaruhi aktiviti kehidupan harian.[1]

Pergerakan Lebih Tiga Kali Ketika Solat

Pada asasnya, pergerakan lebih daripada tiga kali secara berturut-turut di dalam solat adalah membatalkan solat mengikut mazhab Syafie kerana ia dikira pergerakan yang banyak.

Kata Abu Ishak al-Syirazi: “Jika seseorang melangkah tiga langkahan secara berturut atau memukul sebanyak tiga secara berturut maka batal solatnya.”[2]

Imam al-Nawawi menyebut di dalam al-Minhaj: “Jika seseorang itu sengaja melakukan perbuatan di dalam solatnya, selain daripada perbuatan-perbuatan asal di dalam solat, sekalipun perbuatan itu daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll), maka batallah solatnya, kecuali jika dia terlupa. Adapun jika perbuatan bukan daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll) maka batal solat jika perbuatan (pergerakan) itu banyak pada uruf dan tidak batal jika perbuatan (pergerakan) itu sedikit pada uruf. Dua langkah atau dua pukulan itu adalah termasuk di dalam pergerakan sedikit, manakala tiga kali perbuatan (pergerakan) secara berturut-turut adalah banyak (maka ia membatalkan solat).”[3]

Al-Khatib al-Syarbini pula menyebut: “Dan perkara kedua yang membatalkan solat ialah pergerakan yang banyak yang bukan daripada jenis perbuatan solat secara uruf. Apa yang dianggap uruf sebagai pergerakan yang sedikit seperti mencabut khuf, memakai pakaian yang ringan maka ia adalah sedikit. Begitu juga dua langkah yang sederhana dan juga dua pukulan. Pergerakan sebanyak tiga kali atau lebih adalah dikira banyak (dan membatalkan solat) jika ianya dilakukan secara berturut-turut. Sama ada pergerakan tersebut adalah dari jenis pergerakan itu seperti tiga kali langkah ataupun bercampur dari segala jenis pergerakan seperti satu kali langkahan, satu kali pukulan dan mencabut capal ataupun tiga kali langkahan yang dilakukan dengan satu langkah yang besar. Jika dia melakukan satu pergerakan dengan niat tiga kali pergerakan maka batallah solatnya.”[4]

Imam al-Nawawi menyebut: “Secara ringkas tentang apa yang disebut oleh ashab kami bahawa pergerakan yang bukan dari jenis pergerakan solat jika ianya banyak maka batal solat tanpa ada khilaf (tentang perkara tersebut). Jika pergerakan itu sedikit, ianya tidak membatalkan solat.”

Beliau menambah lagi: “Adapun apa yang yang dianggap orang ramai sebagai pergerakan yang banyak seperti langkahan kaki dan pergerakan yang banyak serta berturut-turut maka terbatallah solatnya. Kata Ashab kami : Di atas dasar ini maka satu kali pergerakan seperti satu kali langkahan dan pukulan adalah pergerakan yang sedikit dan pergerakan sebanyak tiga kali adalah banyak.”[5]

Maka, secara asasnya, pergerakan sebanyak tiga kali secara berturut-turut adalah termasuk pergerakan yang menyebabkan solat terbatal.

Pergerakan Lebih Tiga Kali Kerana Penyakit Parkinson

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan di atas, seseorang yang mengidap penyakit Parkinson dan bergerak lebih tiga kali secara berturut-turut di dalam solat adalah tidak membatalkan solat. Ini kerana, perbuatan atau pergerakan tersebut di luar kawalan seseorang itu.

Hal ini disebut oleh Syeikh Ahmad bin Umar al-Syathiri di dalam kitabnya Nail al-Raja’: “Perbuatan yang sedikit itu adalah apa yang kurang daripada tiga kali perbuatan (pergerakan) walaupun ia berturut-turut atau perbuatan itu tiga kali dan lebih tetapi ia tidak berturut-turut. Ini semua perlulah tidak dimaksudkan untuk bermain-main dan tidak termasuk (hukum batalnya solat disebabkan pergerakan yang banyak) mereka yang ditimpa keadaan darurat yang tidak mampu meninggalkan pergerakan yang banyak (tidak mampu mengawal) seperti mereka yang ditimpa penyakit gatal yang teruk.”[6]

Keadaan penyakit gatal yang teruk itu boleh diqiyaskan dengan penyakit Parkinson kerana keduanya sukar dikawal. Apatah lagi, pergerakan akibat penyakit Parkinson selalunya tidak dapat dikawal langsung sebagaimana firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”[7]

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menjelaskan: “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu, sepertimana sabda Nabi SAW: “Jika kamu diperintahkan dengan suatu perintah maka laksanakannya berdasarkan kemampuan kamu.”[8]

Tambahan pula, di dalam mazhab al-Syafie terdapat perbahasan berkaitan anggota berat atau anggota ringan. Contoh anggota yang berat adalah seperti tangan, kaki, kepala dan lain-lain lagi. Selain itu, anggota ringan yang dimaksudkan adalah seperti menggerakkan jari. Perkara ini juga boleh dilihat di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafie seperti Nail al-Raja’ Syarah Safinah al-Naja’ dalam perkara-perkara yang membatalkan solat.

Semoga Allah SWT memberi kita kesihatan yang baik agar dapat melaksanakan ibadah dengan baik dam sempurna. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/penyakit-parkinson/

[2] Lihat al-Tanbih Fi al-Fiqh al-Syafie, hlm. 76

[3] Lihat Minhaj al-Thalibin, hlm. 53-54

[4] Lihat al-Iqna’ Fi Hill al-Alfaz Abi Syuja, 2/268

[5] Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 4/25-26

[6] Lihat Nail al-Raja’, hlm. 142

[7] Surah al-Taghabun: 16

[8] Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/237

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *