Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah tertinggal solat Zohor dan Asar kerana tertidur sewaktu saya bermusafir tempoh hari. Adakah saya perlu qadha penuh (empat rakaat) bagi kedua-dua solat, ataupun saya boleh qadha dengan dua rakaat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam mengharuskan bagi orang yang musafir bagi perjalanan lebih dua marhalah untuk mengqasarkan atau memendekkan rakaat solat-solat yang menerima hukum qasar seperti solat fardhu Zohor, Asar dan Isyak. Islam juga mengharuskan orang yang musafir untuk menghimpunkan dua solat fardu dalam satu masa atau disebut sebagai menjamakkan solat. Terdapat dua kategori jamak solat; jamak taqdim dan jamak ta’khir.

Solat qasar merupakan rukhsah yang diberikan ketika mana musafir. Ini berdasarkan kepada pertanyaan yang diajukan oleh Umar Bin Al-Khattab kepada Rasulullah SAW. Kata Ya’la Bin Umayyah kepada Umar R.A :

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ فَقَالَ عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: (Firman Allah SWT): Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya manusia telah berasa aman. Maka Umar berkata: Aku pun pernah hairan sebagaimana kamu lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan ayat tersebut. Rasulullah SAW bersabda: Ia adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian. Maka terimalah pemberiannya.”[1]

Sheikh ‘Abd al-Muhsin Al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi musafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.”[2]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan hikmah diberikan rukhsah qasar dan jamak ialah menolak kepayahan yang ada ketika permusafiran dan memberi kemudahan untuk menunaikan kewajipan yang telah difardukan.[3]

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

إِذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلاَةِ أَوْ غَفَلَ عَنْهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَقُولُ أَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي

MaksudnyaJika salah seorang dari kamu meninggalkan solat kerana tertidur atau terlupa, hendaklah dia menggantikannya apabila teringat, kerana Allah SWT telah berfirman: “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”[4]

Menurut para ulama mazhab Hanafi dan Maliki, seseorang itu perlu mengqadha solat yang ditinggalkan mengikut keadaan sewaktu ia ditinggalkan. Maka, seorang musafir perlu mengqadha solat yang ditinggalkan sewaktu dalam keadaan muqim secara penuh (empat rakaat), manakala seorang muqim perlu mengqadha solat yang ditinggalkan ketika musafir secara qasar (dua rakaat).[5]

Menurut mazhab Syafi’e pula, qaul yang azhar ialah solat yang ditinggalkan sewaktu qasar harus untuk diqadha secara qasar jika dia masih dalam keadaan musafir, dan diqadha penuh jika dalam keadaan muqim. Namun terdapat tiga pandangan lain dalam isu ini:

  1. qadha secara penuh samada dalam musafir atau muqim
  2. qadha secara qasar dalam musafir atau muqim
  • qadha secara qasar jika dalam musafir, dan qadha secara penuh jika dalam keadaan muqim atau dalam permusafiran yang lain.[6]

Menurut ulama mazhab Hanbali pula, hendaklah qadha secara penuh, kerana qasar merupakan rukhsah dalam permusafiran, dan rukhsah itu gugur dengan berakhirnya permusafiran. Imam Ahmad pula memfatwakan perlu solat secara penuh atas dasar ihtiyath (berhati-hati), dan ini juga pandangan Imam al-Auza’ie dan Daud al-Zahiri.[7]

Kesimpulannya, kami cenderung kepada pandangan mazhab Syafi’e dan Hanbali, iaitu diharuskan untuk qadha solat yang ditinggalkan sewaktu musafir secara qasar, dengan syarat dia masih dalam keadaan musafir. Adapun jika dalam keadaan mukim, maka dia perlu qadha secara penuh. Begitu juga jika dia meninggalkan solat sewaktu dalam keadaan mukim dan ingin mengqadhanya sewaktu bermusafir, hendaklah qadha secara penuh.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

[1] Riwayat Muslim (1605)

[2] Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 1/149

[3] Lihat al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/319

[4] Riwayat Muslim (684)

[5] Lihat al-Bahr al-Ra’iq 2/86, al-Fatawa al-Hindiyyah 1/121, al-Mudawwanah 1/206 dan al-Syarh al-Saghir 1/365

[6] Lihat Minhaj al-Thalibin 1/19, Raudhah al-Thalibin 1/389 dan al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadah, hal. 316-317

[7] Lihat al-Mughni 2/127, al-Mubdi’ Syarh al-Muqni’ 2/102, al-Rawdh al-Murbi’, 2/387

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *