Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum menyebut Amin selepas bacaan al-Fatihah oleh imam ketika solat berjemaah? Dan bagaimana cara untuk sebut bacaan amin secara mengikut sunnah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa mengucapkan “Amin” selepas selesai bacaan surah al-Fatihah bagi setiap orang yang bersolat hukumnya adalah sunat. Iaitu selepas firman Allah SWT: (وَلَا الضَّالِّينَ), hendaklah diikuti dengan perkataan “Amin”.

Begitu juga, disunatkan mengucapkan “Amin” dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam.[1]

Para ulama telah berbeza pendapat mengenai makna lafaz “Amin” tersebut. Namun, majoriti para ulama sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa maknanya ialah (اللَّهُمَّ اسْتَجِبْ لَنَا) iaitu “Ya Allah, perkenankanlah buat kami.”[2]

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi imam untuk diam seketika (dalam tempoh yang sangat sekejap), antara bacaan al-Fatihah dan bacaan “Amin”, supaya orang ramai tidak menganggap bahawa lafaz “Amin” itu sebahagian daripada surah al-Fatihah.[3]

Manakala Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff pula mengatakan bahawa disunatkan bagi orang bersolat untuk diam antara bacaan al-Fatihah dan lafaz “Amin” dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”.[4]

 

Hukum Menyebut Amin Selepas al-Fatihah

Berbalik kepada persoalan di atas, bacaan amin itu bukan daripada surah al-Fatihah tetapi hukumnya adalah sunat.

Untuk menjawab persoalan di atas kami kemukakan kenyataan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/152), antara lain menyebut:

“Mengucapkan Amin ketika selesai bacaan fatihah selepas firman Allah SWT (ولاَ الضَّآلِينَ), diikuti dengan perkataan Amin yang bermaksud: Wahai Tuhan, perkenankanlah. 

Setiap orang yang bersolat sunat mengucapkan Amin dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إذا قالَ أحَدُكُمْ: آمِينَ، ( وفِي رِوَايَةِ عِنْدَ مُسْلِمٍ: فِى الصَّلاَةِ) والْمَلائِكَةُ في السَّماءِ: آمِينَ. فَوافَقَتْ إحْداهُما الأُخْرى، غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ.

Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu mengucapkan Amin, (dalam riwayat Muslim menyebut: Ketika melakukan solat), dan para malaikat di langit juga mengucapkan Amin, maka jika bertepatan kedua-duanya, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”[5]

Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُوا فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Apabila imam mengucapkan Amin, maka kamu ucapkanlah Amin. Sesiapa yang Aminnya bertepatan dengan Amin para malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.[6]

Begitu juga hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَلاَ (غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ) قَالَ: آمِينَ. حَتَّى يَسْمَعَ مَنْ يَلِيهِ مِنَ الصَّفِّ الأَوَّلِ

Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW membaca  (غَيرِ الْمَغضُوبِ عَلَيهِم وَلاَ الضَّآلِينَ), Baginda berkata Amin sehingga terdengar oleh orang yang berada dalam saf yang pertama di belakang Baginda.[7]

Hadith riwayat Ibn Majah pula menambah:

فَيَرْتَجُّ بِهَا الْمَسْجِدُ

Maksudnya: Sehingga masjid bergema dengan laungannya.[8]

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan tuntutan solat dengan sempurna. Amiin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/152

[2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/145 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 240

[3] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93

[4] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 238

[5] Riwayat al-Bukhari (748) dan Muslim (410)

[6] Riwayat al-Bukhari (780) dan Muslim (410)

[7] Riwayat Abu Daud (934)

[8] Riwayat Ibn Majah (853)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *