Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah berdosa, sekiranya saya tersentuh tangan bukan mahram dengan tidak sengaja seperti ketika menghulurkan barang dan lain-lain? Seterusnya adakah terbatal wuduk walaupun secara tidak sengaja. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya:Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.[1]

Al-Syaukani ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan, terdapat sebuah hadith di mana para sahabat bilamana berdoa dengan doa ini, Allah SWT menjawab: “Ya, sesungguhnya Aku telah melakukannya.” Maka, diangkatlah dosa kesalahan yang tidak disengajakan dan lupa daripada mereka. Justeru, tidak ada khilaf bahawa dosa diangkat (yakni dimaafkan) bagi dua keadaan iaitu lupa dan tersilap (tidak sengaja).[2]

Hukum bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan

Secara asasnya, bersentuhan kulit antara lelaki dewasa dengan perempuan dewasa ajnabi adalah sesuatu yang ditegah. Di dalam sebuah hadith daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya:Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).[3]

Hadith di atas, jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Mengenai perkara ini, al-Khattabi ada mengatakan:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya:Sesuatu khitab (yakni nas) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga turut ditujukan (terpakai) kepada orang perempuan, melainkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.[4]

Begitu juga bersentuhan antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa ajnabi tanpa berlapik termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sama ada sengaja ataupun tidak.[5]

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa di antara perkara yang membatalkan wuduk ialah seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain (ajnabi) tanpa berlapik. Perbuatan tersebut membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain (ajnabi) ialah semua perempuan yang halal untuk dikahwini oleh lelaki berkenaan. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam menerangkan perkara-perkara yang mewajibkan berwuduk:

أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

Maksudnya:Atau kamu sentuh perempuan.”[6]

Berdasarkan bacaan mutawatir, perkataan “لَامَسْتُمُ” bermakna “لَمَسْتُم” iaitu kamu menyentuhnya.[7]

Justeru, sekiranya tersentuh kulit isteri pun membatalkan wuduk, maka apatah lagi kulit perempuan dewasa ajnabi lain.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, perbuatan yang tidak sengaja dikategorikan sebagai al-Khata’ iaitu tersilap, yang biasanya digunakan bagi menunjukkan sesuatu yang berlawanan dengan ‘perbuatan yang disengajakan’. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya:Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.[8]

Ayat di atas bermaksud tiada ada dosa yang dikenakan ke atas kamu disebabkan kesalahan yang terjadi yang tidak disengajakan, akan tetapi Allah SWT akan mengambil kira — bahawa itu adalah dosa — apabila kamu sengaja melakukan perkara atau perbuatan tersebut.[9]

Selain itu, terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللهَ تعالى وضع عن أُمَّتي الخطأَ، والنسيانَ، وما اسْتُكرِهوا عليه

Maksudnya:Sesungguhnya Allah ta‘ala mengangkat (dosa) daripada umatku dalam keadaan dia tersilap (tidak sengaja), terlupa dan perbuatan yang dipaksakan untuk mereka melakukannya.”[10]

Kedua-dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja atau tersilap itu tidak dikira sebagai berdosa.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Ibn Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini bahawa — yang paling jelas menurut beliau — seseorang yang terlupa atau tersilap itu adalah dimaafkan. Dalam erti kata lain, terangkat dosa daripada kedua-duanya kerana suatu dosa itu dikenakan berdasarkan tujuan dan niat. Sedangkan orang yang terlupa dan tersilap, keduanya tidak ada niat ketika melakukannya, maka tiada dosa dikenakan kepada mereka. Adapun terangkat hukum daripada keduanya, maka ini bukanlah kehendak yang dimaksudkan daripada nas ini. Oleh itu, bagi mensabitkan dan menafikannya memerlukan kepada dalil yang lain.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa bersentuhan kulit di antara seorang lelaki dewasa dengan perempuan dewasa yang bukan mahram secara tidak sengaja adalah tidak berdosa, tetapi sentuhan tersebut menyebabkan wuduk kedua-duanya terbatal sekiranya tidak berlapik sekalipun tidak disengajakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 286

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 62.

[3] Riwayat al-Tabarani (486); Riwayat al-Ruyani dalam musnadnya (1283)

[4] Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423.

[5] Lihat Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103; al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 38.

[6] Surah al-Ma’idah: 6

[7] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/63.

[8] Surah al-Ahzab: 5

[9] Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 418.

[10] Riwayat Ibn Majah (2045); Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8273); Riwayat al-Baihaqi (11787)

[11] Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/369.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *