Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya mengambil wuduk dalam keadaan telanjang? Mohon percerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Begitu juga, Al-Sa‘di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain.[3]

Definisi Wuduk

Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak dinyatakan bahawa ‘menutup aurat ketika berwuduk’ termasuk dalam perkara wajib mahupun sunat untuk dilakukan. Namun, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat termasuk dalam salah satu perkara sunat ketika mandi. Aurat yang dimaksudkan di sini ialah dua kemaluannya; qubul dan dubur. Justeru, disunatkan baginya untuk menutup kedua-duanya kerana ia merupakan auratnya ketika bersendirian.[5]

Sekalipun begitu, hukumnya adalah berbeza sekiranya seseorang itu mengambil wuduk dalam keadaan tanpa berpakaian di tempat awam. Hal ini kerana pada waktu tersebut, sudah jelas hukumnya bahawa dia wajib menutup aurat. Ini berdasarkan kepada hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya:Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.[6]

Terdapat dalam hadith lain, daripada riwayat Bahz bin Hakim, daripada bapanya, daripada datuknya, beliau berkata:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ؟ قَالَ: «احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ»، فَقَالَ: الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ؟ قَالَ: إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ»، قُلْتُ: وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا، قَالَ: «فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ

Maksudnya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Baginda menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Lalu beliau bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Baginda menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Aku bertanya lagi: “Jika lelaki berada dalam keadaan sendirian?” Baginda menjawab: “Maka Allah lebih berhak untuk engkau bersikap malu terhadap-Nya.”[7]

Bahkan sebagai seorang penganut Islam, kita hendaklah sedaya upaya mengelakkan diri daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan sekalipun kita bersendirian. Hal ini adalah sebagaimana dinukilkan bahawa ulama mazhab Hanafi — mengikut pendapat yang sahih, — ulama mazhab Syafi‘i dan ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa wajib untuk menutup aurat sekalipun bersendirian (berada di tempat yang sunyi) dan jauh daripada pandangan manusia. Manakala menurut ulama mazhab Maliki, hukumnya adalah sunat untuk menutup aurat sendiri ketika bersendirian dan ia dituntut sebagai sikap malu kepada Allah SWT dan para malaikat-Nya. Adapun jumhur ulama pula, mereka berhujahkan bahawa arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak dan juga kerana Allah SWT itu lebih layak seseorang itu untuk malu terhadap-Nya sebagaimana hadith Bahz bin Hakim yang telah disebutkan di atas. Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapatnya keperluan seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya.[8]

Mantan Mufti Besar Arab Saudi Syeikh ‘Abd al-‘Aziz pernah ditanya mengenai adakah sah wuduk seseorang yang berwuduk dalam keadaan telanjang di dalam satu tempat (yakni secara berseorangan)? Beliau menjawab, perkara tersebut tiada masalah. Namun, sekiranya dia memakai pakaian terlebih dahulu, kemudian barulah dia berwuduk, maka ia adalah lebih baik dan sempurna.[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa seseorang yang berwuduk dalam keadaan telanjang di tempat yang tertutup (yakni berseorangan) dan jauh daripada pandangan manusia, wuduknya adalah sah.  Begitu juga, jika dia berwuduk di tempat awam dan mendedahkan auratnya, wuduknya juga dikira sah. Akan tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.

Sepatutnya seseorang Muslim itu hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Lebih-lebih lagi, berwuduk termasuk dalam perkara ibadat, maka adalah lebih baik dan afdhal dilakukan dengan cara menutup aurat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61

[3] Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 222

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53.

[5] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 120.

[6] Riwayat al-Tirmizi (2793)

[7] Riwayat al-Tirmizi (2769)

[8] Lihat Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/176.

[9] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/8021/حكم-الوضوء-والانسان-عريان. Diakses pada 31 Disember 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *