Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apakah pengajaran yang dapat diambil daripada Hilf al-Fudhul?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Peristiwa Hilf al-Fudhul berlaku pada bulan Zulkaedah, tahun ke-20 sebelum kenabian, tepatnya empat bulan setelah selesai daripada peperangan Fijar antara suku Quraisy dan kabilah-kabilah yang bersekutu dengan Bani Kinanah dalam menghadapi serangan Bani Qais ‘Ailan.[1]
Peristiwa ini turut disertai oleh Rasulullah SAW sepertimana yang Baginda ceritakan sendiri, melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, katanya: Nabi SAW bersabda:
شَهِدْتُ حِلْفَ الْمُطَيَّبِينَ مَعَ عُمُومَتِي وَأَنَا غُلَامٌ فَمَا أُحِبُّ أَنَّ لِي حُمْرَ النَّعَمِ وَأَنِّي أَنْكُثُهُ
Maksudnya: “Aku pernah menyaksikan Hilf al-Mutayyabin bersama para bapa saudaraku ketika aku masih kecil. Dan aku tidak suka jika aku diberi unta merah, sementara aku melanggarnya.”[2]
Manakala dalam riwayat lain, disebut:
مَا شَهِدْتُ حِلْفًا لَقُرَيْش إِلاَّ حِلْفَ الْمُطَيَّبِينَ وَمَا أُحِبُّ أَنَّ لِي حُمْرَ النَّعَمِ وَأَنِّي كُنْتُ نَقَضْتُهُ
Maksudnya: “Aku tidak pernah menyaksikan perjanjian kesepakatan orang Quraisy, kecuali Hilf al-Mutayyibin. Dan aku tidak suka jika aku diberi unta merah, sementara aku melanggarnya.”[3]
Turut direkodkan dalam sebuah riwayat yang, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَقَدْ شَهِدْتُ فِيْ دَارِ عَبْدِ اللهِ بْنِ جُدْعَان حِلْفًا لَوْ دُعِيْتُ بِهِ فِيْ الإِسْلاَمِ لأَجَبْتُ
Maksudnya: “Sesungguhnya, aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu perjanjian. Seandainya aku diajak melakukannya dalam Islam, tentu aku penuhinya.”[4]
Justeru, dapat kita fahami bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku, kerana riwayat yang menjelaskannya adalah kuat. Meskipun begitu, berkenaan perincian peristiwa tersebut, ia tidak diriwayatkan oleh jalur yang sahih.
Peristiwa Hilf al-Fudhul melibatkan antara lima kabilah, iaitu:
- Bani Hashim
- Bani Abd al-Muttalib
- Bani Asad bin ‘Abd al-‘Uzza
- Bani Zahrah bin Kilab
- Bani Taim bin Murrah.
Ia bermula selepas al-‘As bin Wa’il, salah seorang daripada keturunan Bani Abd al-Dar menzalimi seorang lelaki keturunan al-Zubaidi yang datang ke Mekah berniaga dengan tidak membayar barang yang dibelinya. Lelaki keturunan al-Zubaidi itu lalu berteriak meminta bantuan daripada al-Ahlafi, iaitu Bani ‘Abd al-Dar yang bertahaluf sebelumnya. Malangnya, pihak-pihak yang bertahaluf dalam al-Ahlafi enggan membantunya.
Lelaki tersebut akhirnya meminta bantuan pihak lain, lalu disambut oleh al-Zubair yang memanggil Bani Hashim, Bani Asad bin ‘Abd al-‘Uzza, Bani Zahrah bin Kilab dan Bani Taim bin Murrah berkumpul di rumah Abdullah bin Jud’an dengan menyediakan makanan.
Seterusnya, mereka melakukan Tahaluf atau Perjanjian Kerjasama dengan nama Allah bahawa tiada seorang pun boleh dizalimi di Mekah sama ada penduduknya atau orang luar yang datang menziarahi melainkan mereka akan saling membantu mengembalikan hak dan kemuliaan (al-Fudhul) kepada empunyanya. Lantaran itu, ia dipanggil Hilf al-Fudhul.
Seterusnya, mereka beramai-ramai bergerak menuju ke rumah al-‘As bin Wa’il dan memaksanya menyerahkan kembali hak kepunyaan lelaki keturunan al-Zubaidi tersebut.
Tahaluf ini yang telah dihadiri sendiri oleh Rasulullah SAW sebelum kedatangan Islam ini, dan setelah menjadi Rasul, Baginda SAW memuji Tahaluf ini dengan bersabda:
لَقَدْ شَهِدْتُ فِي دَارِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُدْعَانَ حِلْفًا مَا أُحِبُّ أَنَّ لِيَ بِهِ حُمْرَ النَّعَمِ ، وَلَوْ أُدْعَى بِهِ فِي الإِسْلامِ لأَجَبْتُ
Maksudnya: “Aku menghadiri satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Tidaklah ada yang melebihi kecintaanku kepada unta merah kecuali perjanjian ini. Sekiranya aku diajak menyepakati perjanjian ini pada masa Islam, nescaya aku akan mendatanginya.”[5]
Ibrah dan Pengajaran daripada Peristiwa Hilf al-Fudhul
Antara pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa ini ialah:
Pertama, kerosakan yang tersebar dalam lapisan sosial atau masyarakat, tidak membawa maksud hilangnya seluruh kebaikan dan keluhuran budi pekerti dalam lingkungan tersebut.[6]
Kedua, apabila kaum jahiliyah menolak kezaliman dengan fitrah mereka, maka semestinya kaum Islam lebih sepatutnya lagi untuk menolaknya, tetapi hendaklah atas dasar aqidah. Ini kerana, sesungguhnya Islam benar-benar memerintahkan umatnya agar tidak melakukan kezaliman.[7]
Kami katakan juga di sini bahawa betapa perjanjian yang baik yang memberi maslahat dan manfaat kepada ummah, puncanya daripada siapa yang menaja dan menganjurkannya, maka kita melihat kepada Fiqh Ma’alat di mana natijah yang baik bolehlah kita ikuti. Benarlah sabda Nabi SAW:
الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Maksudnya: “Kalimah hikmah dan kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang mukmin; di mana saja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”[8]
Saidina Ali Karramallahu Wajhah juga pernah berkata: “Lihatlah kepada apa yang diucapkan, bukannya kepada siapa yang mengucapkannya.”[9]
Semoga kita menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya dan menjarakkan kita dari sebarang pertelingkahan dan persengketaan.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 19 Januari 2022 bersamaan 16 Jamadil Akhir 1443H
[1] Lihat al-Rahiq al-Makhtum oleh al-Mubarakfuri, hlm. 68 dan al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah oleh Muhammad Abu Syuhbah, 1/213
[2] Riwayat Ahmad (1655), al-Bazzar (1000), Abu Ya’la (845) dan Ibn Hibban (4373). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (no. 4373)
[3] Riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/37-38) dan Ibn Hibban (4374)
[4] Dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/315
[5] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6/367)
[6] Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, oleh Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris, hlm. 119
[7] Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau’ al-Masadir al-Asliyyah oleh Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad, hlm. 132
[8] Riwayat al-Tirmizi (2687)
[9] Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 8/3471